Thursday, March 25, 2010

INDIA: Bangunan lama terbakar, 24 maut



Asap tebal menjulang ke udara akibat kebakaran bangunan lama di Calcutta, kelmarin. - AP


CALCUTTA 24 Mac - Sebuah bangunan lama tujuh tingkat berusia 100 tahun, di sini terbakar semalam mengakibatkan 24 orang terbunuh, termasuk dua orang yang terjun dari bangunan berkenaan ketika orang ramai berkumpul menyaksikan kejadian itu.

Komisioner Polis, Gautam Mohan Chakraborty berkata, pada asalnya angka kematian ialah enam orang, namun pihak bomba menjumpai 18 lagi mayat kemudiannya.

Kira-kira 20 orang lagi cedera dalam kebakaran di kota yang sibuk di timur India ini.

''Polis masih menjalankan siasatan tentang punca kebakaran yang dipercayai bermula di sebuah tangga bergerak,'' kata seorang pegawai polis, Javed Shamim.

Setiausaha Dalam Negeri, Ardhendu Sen berkata, lima daripada 20 orang yang dirawat di hospital berada dalam keadaan kritikal.

Ribuan orang berkumpul menyaksikan bomba menggunakan tangga untuk menyelamatkan berpuluh-puluh orang yang terperangkap di dalam bangunan pejabat dan apartmen itu ketika kepulan asap dan api marak dari tingkat empat ke atas.

Hampir 100 anggota bomba mengambil masa beberapa jam untuk mengawal kebakaran di bangunan itu. - AP

Sumber

PALESTIN: Rejim Zionis bina apartmen haram pula

BAITULMAQDIS 24 Mac - Pihak berkuasa tempatan telah memberikan kelulusan bagi membina 20 apartmen penempatan haram Yahudi di atas tapak yang suatu ketika menempatkan sebuah hotel Palestin di timur Baitulmaqdis yang dijajah Israel.

Media Israel hari ini berkata, laporan itu muncul semasa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengadakan perbincangan di White House dengan Presiden Barack Obama ketika kedua-dua pemimpin berkenaan berusaha menyelesaikan pertikaian selama dua minggu berhubung pengumuman Israel, baru-baru ini untuk membina penempatan haram di wilayah yang dipertikaikan itu.

Pihak berkuasa Baitulmaqdis sudah meluluskan projek yang diusahakan oleh jutawan Amerika Syarikat (AS), Irving Moskowitz bagi membina apartmen di atas tapak bekas Hotel Shepherd di kawasan Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis, lapor radio awam Israel dan laman web berita Ynet.

Menurut laporan itu, pihak berkuasa Baitulmaqdis telah memberikan kelulusan awal kepada projek Moskowitz itu pada Julai lalu dan memberikan kelulusan akhir minggu lalu untukmeruntuhkan Hotel Shepherd dan memulakan pembinaan apartmen berkenaan.

Aktivis Peace Now, sebuah pergerakan anti-penempatan haram mengutuk kelulusan tersebut.

''Pihak berkuasa Baitulmaqdis melaksanakan satu dasar yang mempunyai implikasi amat buruk terhadap peluang mencapai perjanjian dengan Palestin.

''Netanyahu tidak berupaya mengawal tindakan pihak berkuasa tempatan,'' kata Pengarah Peace Now, Hagit Ofran.

Bagaimanapun, seorang jurucakap pihak berkuasa tempatan Baitulmaqdis menyifatkan pengumuman tersebut sebagai cubaan membuat provokasi untuk menjejaskan lawatan Netanyahu ke AS.

Netanyahu tidak menunjukkan sebarang tanda akan tunduk kepada permintaan AS untuk menghentikan pembinaan penempatan haram baru Yahudi di timur Baitulmaqdis.

Hubungan antara dua sekutu rapat itu berada dalam keadaan krisis terburuk ketika ini berpunca daripada pengumuman Israel pada 9 Mac lalu untuk membina 1,600 penempatan haram baru di timur Baitulmaqdis ketika Naib Presiden AS, Joe Biden melawat negara ini. - AFP

Sumber

ARAB SAUDI kutuk keangkuhan Israel

RIYADH 24 Mac – Arab Saudi hari ini mengutuk ‘keangkuhan dan kedegilan’ Israel dan menganggap seluruh proses damai kini diragui berikutan keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi di timur Baitulmaqdis.

Seorang pegawai Saudi dalam kenyataan kepada agensi berita SPA berkata, Riyadh telah meminta maklumat lanjut daripada Kuartet Asia Barat mengenai pendirian terbaru Israel berhubung kawasan penempatan.

“Kerajaan Saudi menantikan penjelasan daripada Kuartet mengenai dasar Israel yang memperlihatkan keangkuhan dan kedegilan dengan mengingkari kehendak masyarakat antarabangsa,” kata pegawai yang tidak dikenali itu.

Netanyahu menyifatkan tuntutan supaya kegiatan pembinaan perumahan Yahudi di timur Baitulmaqdis dibekukan, iaitu syarat Palestin untuk menyambung semula rundingan damai, sebagai ‘tidak munasabah’.

Beliau mempertahankan hak Israel untuk membina rumah di kawasan majoriti Arab di bahagian timur Baitulmaqdis.

“Baitulmaqdis bukan kawasan penempatan Yahudi tetapi merupakan ibu negara kami,” kata Netanyahu dalam ucapan kepada pertubuhan pelobi pro-Israel, AIPAC di Washington, kelmarin.

Pegawai Saudi itu berkata, kenyataan Netanyahu ‘menimbulkan keraguan mengenai seluruh proses damai dan kesungguhan usaha masyarakat antarabangsa untuk menyambung semula rundingan’.

“Kenyataan tersebut terang-terangan menandakan rampasan hak-hak penduduk Palestin, Arab dan Islam di Baitulmaqdis tanpa menghiraukan hak Palestin serta usaha intensif masyarakat antarabangsa untuk melancarkan proses damai,” katanya.

Israel menawan timur Baitulmaqdis semasa perang Asia Barat 1967 dan sejurus selepas itu menjadikannya sebagai sebahagian wilayahnya dalam tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat dunia.

Rakyat Palestin mahu menjadikan timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka suatu hari nanti.

Kuartet Asia Barat yang terdiri daripada Amerika Syarikat (AS), Rusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) bermesyuarat di Moscow pada Jumaat lalu dan menggesa Israel membekukan aktiviti pembinaan di kawasan penempatan Yahudi di wilayah Palestin. – AFP

Sumber

Tuesday, March 23, 2010

PALESTIN: Ki-moon kecam sekatan Israel di Genting Gaza



Penduduk Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan membawa sepanduk (kanan) dalam bahasa Arab berbunyi: Israel musnahkan kediaman saya semasa Ban Ki-moon melawat kawasan Ezbet Abed Rabbo di utara Gaza dekat khemah pelarian Jabalia, kelmarin. - AFP


KHAN YUNIS, Gaza 22 Mac - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyelar sekatan Israel ke atas Genting Gaza semasa lawatan beliau ke wilayah Palestin itu, semalam.

Kunjungan itu adalah sebahagian daripada lawatan dua hari beliau ke rantau ini bertujuan memulihkan rundingan damai Israel-Palestin, yang terhenti berikutan serangan rejim Zionis ke atas Gaza dari Disember 2008 hingga Januari tahun lepas.

"Saya sudah berkali-kali memberitahu pemimpin Israel bahawa dasar sekatan itu adalah salah dan tidak boleh diteruskan," kata Ki-moon kepada wartawan di bandar Khan Yunis, selatan Genting Gaza.

Katanya, sekatan tersebut mengakibatkan penderitaan yang tidak boleh diterima sama sekali, terutamanya di kalangan remaja dan kanak-kanak.

"Dasar itu juga tidak produktif kerana menghalang kegiatan perdagangan yang sah sambil menggalakkan penyeludupan. Ia melemahkan kedudukan golongan berfahaman sederhana dan memperkasakan puak pelampau," kata beliau.

Ki-moon melakukan kunjungan keduanya ke Gaza sejak Israel melancarkan serangan ketenteraan yang menyebabkan 1,400 penduduk Palestin terbunuh dan beribu-ribu rumah musnah.

Beliau melawat kawasan-kawasan yang paling teruk musnah sebelum mengumumkan projek-projek untuk membina 150 buah rumah, sebuah kilang tepung dan sebuah loji rawatan kumbahan.

Israel telah memberikan kelulusan untuk mengimport bahan binaan bagi projek-projek tersebut.

Projek perumahan di tapak bekas kawasan pendatang haram Yahudi dekat Khan Yunis itu dilihat sebagai cara untuk membuktikan kepada Israel bahawa PBB boleh membawa masuk bahan binaan ke wilayah Palestin itu tanpa dirampas oleh pergerakan Hamas yang mentadbir Gaza.

Ketua projek pembinaan bagi agensi bantuan pelarian PBB, UNRWA, Munir Manneh berkata, semua bahan binaan yang dibawa masuk akan direkodkan.

"Kami akan memberikan contoh terbaik dan membuktikan kami akan mengawal proses ini 100 peratus," katanya selepas menyerahkan butir-butir projek kepada Ki-moon.

Setiausaha Agung PBB itu menyabut baik projek-projek tersebut, sambil melahirkan perasaan sedih melihat rumah-rumah yang musnah masih belum dibangunkan semula lebih setahun selepas serangan Israel.

Beliau menggambarkan projek-projek yang dirancang itu sebagai 'setitis air di dalam baldi' dan mahu usaha pembangunan semula ditingkatkan. - AFP

Sumber

Wednesday, March 17, 2010

Rakyat PALESTIN bantah kuil Yahudi di Baitulmaqdis

BAITULMAQDIS 16 Mac - Berpuluh-puluh penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel di timur Baitulmaqdis hari ini, 'Hari Kemarahan' yang diisytiharkan Hamas sebagai protes kepada pembukaan kuil Yahudi di bandar suci ini.
Keganasan itu menjadi cabaran terbaru kepada usaha Amerika Syarikat (AS) untuk menghidupkan semula rundingan damai Asia Barat selepas Israel membangkitkan kemarahan Palestin dan bertelingkah dengan Washington berhubung pengumuman rancangan pembinaan 1,600 kediaman haram pendatang Yahudi dekat timur Baitulmaqdis.
Penduduk Palestin melontar batu ke arah polis Yahudi selain membakar tayar dan tong sampah di beberapa kawasan di timur Baitulmaqdis, yang dijajah Israel bersama Tebing Barat dalam perang pada tahun 1967.
Polis Israel membalas dengan gas pemedih mata dan peluru getah, kata saksi. Kira-kira 40 penduduk Palestin dirawat di hospital timur Baitulmaqdis kerana cedera ringan.
Jurucakap polis berkata, seramai 3,000 anggota diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas Hamas menyeru agar protes anti-Israel diadakan.
"Kami meminta penduduk Palestin memperingati Selasa sebagai hari kemarahan ke atas tindakan penjajah (Israel) di Baitulmaqdis menentang Masjid Al-Aqsa," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Hamas.
Hamas dan pegawai Palestin yang mempunyai kaitan dengan pergerakan Fatah menyatakan kerja pemulihan kuil Hurva di Kuarters Yahudi, Kota Lama Baitulmaqdis yang membahayakan Masjid al-Aqsa yang terletak hanya 400 meter jauh.
Israel menafikan hal tersebut.
Majlis perasmian yang diadakan semalam di rumah ibadat itu, yang diletupkan oleh tentera Jordan semasa mereka menakluk Kuarters Yahudi dalam Perang Asia Barat 1948. Israel menjajah semula kawasan itu 19 tahun kemudian.
Keganasan tercetus sejak beberapa minggu lalu di Baitulmaqdis selepas Israel memutuskan untuk memasukkan tapak suci di Tebing Barat dalam rancangan warisan kebangsaan Yahudi menimbulkan kemarahan penduduk Palestin. - REUTERS

Sumber

Tuesday, March 9, 2010

Polis buru pencuri harta mangsa gempa bumi Chile


CONCEPCION, Chile 8 Mac - Penduduk di bandar Concepcion, Chile yang dilanda gempa bumi pada 27 Februari lalu, meletakkan televisyen, peti sejuk dan perabot baru di tepi jalan semalam, bagi mengelak ditahan polis yang bersiap sedia melancarkan operasi memeriksa rumah ke rumah bagi mengambil tindakan tegas terhadap pencuri.

Menyedari 20 pencuri telah ditahan, penduduk yang mengunjungi kedai dan pasar raya pada minggu lalu, menggunakan peluang yang diberikan polis yang menyatakan mereka sedang bersiap-sedia untuk pergi ke setiap rumah lengkap dengan perisai rusuhan dan gas pemedih mata.

"Seorang pengunjung mencuri dan kemudian orang lain mengikutinya. Ia dilakukan bukan kerana keperluan. Saya tidak dapat menjelaskannya. Ia tidak wajar," kata tukang membaiki mesin berat, Humberto Cifuentes, 53.

Penduduk kelas pertengahan di kawasan kediaman di lereng bukit bandar Chile, mengambil sofa, dapur serta tong arak dan memasukkannya ke dalam trak penunda dan juga bas.

Polis memberi tempoh sehingga Ahad ini kepada penduduk untuk memulangkan barangan yang dicuri atau mereka akan ditahan.

Berdozen-dozen barangan termasuk televisyen, peti sejuk, perabot dan barangan keperluan asas bernilai kira-kira AS$2 juta (RM6.6 juta) yang dicuri selepas kejadian gempa itu sudah ditemui.

Chile dilanda gempa bumi berukuran magnitud 8.8 pada 27 Februari yang menyebabkan tsunami dan mengorbankan 802 orang serta memusnahkan beberapa pekan dan bandar. - Reuters

Sumber

Jurucakap al-Qaeda ditangkap


KARACHI 8 Mac - Ejen keselamatan Pakistan menangkap seorang jurucakap al-Qaeda warga Amerika Syarikat (AS) yang dikehendaki atas tuduhan mengkhianat di AS kerana mengancam untuk melancarkan serangan jika tuntutan rangkaian militan tersebut tidak dipenuhi.

Penangkapan Adam Gadahn, lelaki kelahiran California yang memeluk Islam, diumumkan oleh pegawai keselamatan Pakistan semalam, sehari selepas dia menyiarkan rakaman video menyeru umat Islam di AS supaya melancarkan serangan bagi merosakkan ekonomi kuasa besar itu.

Gadahn, awal 30-an, adalah anggota terbaru di kalangan beberapa militan yang ditangkap di Pakistan, sekutu penting AS dalam kempen memerangi keganasan.

Penangkapannya meningkatkan harapan agar tindakan lebih bersepadu dapat diambil terhadap pejuang Taliban dan al-Qaeda di Afghanistan ketika tentera AS dan sekutunya memerangi militan di kawasan sempadan negara itu.

Gadahn ditangkap di pinggir selatan Karachi bersama dua rakannya baru-baru ini, kata dua ejen keselamatan Pakistan.

Dia terlibat dengan sayap media al-Qaeda yang dikenali sebagai as-Sahab dan muncul dalam siaran videonya dengan memakai jubah dan serban untuk memberi amaran kepada AS mengenai serangan yang bakal dihadapinya jika tuntutan al-Qaeda tidak ditunaikan.

Dalam rakaman video yang disiarkan di laman web militan semalam, Gadahn memuji Nidal Hassan iaitu doktor tentera AS yang membunuh 13 orang di pangkalan tentera Fort Hood di Texas pada November lalu.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mahu menyoal siasat Gadahn sejak Mei 2004 dan kerajaan AS menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$1 juta (RM3.4 juta) bagi maklumat yang boleh membawa kepada penangkapannya.

Gadahn yang berasal daripada sebuah keluarga Yahudi-Kristian memeluk Islam sewaktu berusia 17 tahun dan berpindah ke Pakistan beberapa tahun kemudian. Dia sebelum ini dikenali sebagai Adam Pearlman dan membesar di sebuah ladang kambing di luar Los Angeles. - Reuters

Sumber

Buruh dilarang terlibat bina rumah Yahudi


RAMALLAH 8 Mac - Kerajaan Palestin akan bertindak menghalang pekerja Palestin terlibat dengan kerja-kerja pembinaan penempatan haram Israel di Tebing Barat.

Menurut Menteri Ekonomi, Hassan Abu Libdeh semalam, rakyat Palestin bersungguh-sungguh membantah pembinaan penempatan Israel di tanah yang mereka tuntut sebagai negara Palestin, namun dianggarkan antara 20,000 hingga 30,000 rakyat Palestin terlibat dengan kerja-kerja pembinaan tersebut.

Pekerja pembinaan Palestin merupakan sumber utama tenaga kerja bagi pembinaan rumah-rumah peneroka haram Israel, sementara segelintir yang lain bekerja di kilang-kilang dekat kawasan penempatan.

Banyak pihak mendakwa, ekonomi Tebing Barat yang teruk, membuatkan mereka tiada pilihan.

Undang-undang baru itu yang akan ditandatangani Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dibentuk sebagai kempen Palestin membantah pembinaan penempatan haram berkenaan.

Hassan yang merangka undang-undang tersebut berkata, penting bagi rakyat Palestin untuk kekal dengan pendiriannya yang membantah pembinaan rumah-rumah haram penduduk Israel.

"Penduduk saya, masyarakat saya, turut terlibat dan menyumbang dalam pembinaan tersebut, jadi inilah yang menjadi sasaran saya sekarang," katanya.

Hassan berkata, pihak berkuasa Palestin akan mencari alternatif bagi penduduk Palestin yang kini bekerja di kawasan penempatan Israel, namun mereka tidak akan dipaksa meninggalkan kawasan itu.

Tambah beliau, rakyat Palestin yang terus bekerja di kawasan penempatan Israel pada masa depan, dianggap melanggar undang-undang tersebut, namun penalti bagi kesalahan itu masih belum dibincangkan.

Kata Hassan, undang-undang baru tersebut juga akan mengharamkan penjualan produk dari penempatan haram di Tebing Barat di kedai-kedai Palestin. -- AP

Sumber

TURKI dilanda gempa, 57 maut



PASUKAN pencari dan penyelamat Turki dan penduduk kampung berusaha mencari mangsa dalam runtuhan bangunan di bandar Elazig yang dilanda gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter, semalam. - AFP


ANKARA 8 Mac - Satu gempa bumi kuat berukuran 6 pada skala Richter melanda timur Turki awal hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 57 orang.

Pusat krisis kerajaan melaporkan, kira-kira 100 orang lagi turut cedera dalam kejadian gempa yang berlaku pada pukul 4.32 pagi (10.32 pagi waktu Malaysia) itu di wilayah Elazig, kira-kira 550 kilometer ke timur Ankar.

Datuk bandar di wilayah berhampiran, Kovancilar, Bekir Yanilmaz berkata, seramai 57 orang terbunuh di tiga perkampungan di wilayah Elazig.

Sebanyak 30 gegaran susulan turut berlaku dengan kekuatan terkuat dilaporkan berukuran 5.5 pada skala Richter.

Kawasan yang paling terjejas teruk di perkampungan Okcular dilaporkan seramai 17 orang terbunuh dengan rumah-rumah menjadi seperti timbunan sampah.

Wartawan Agensi Berita Dogan, Nursel Sengezer di Karakocan pula melaporkan, dua kanak-kanak terkorban di perkampungan Yukari Kanatli dan dua lagi tertimbus di bawah runtuhan.

Gegaran turut dirasai di wilayah berhampiran, Tunceli, Bingol dan Diyarbakir menyebabkan penduduk yang panik bergegas keluar ke jalan raya, lapor CNN Turki.

Turki digegar dua gempa kuat di kawasan padat penduduk di barat laut negara ini pada Ogos dan November 1999 yang mengorbankan kira-kira 20,000 orang. - AP

Sumber

500 maut pergaduhan agama di NIGERIA



MAYAT orang dewasa dan kanak-kanak yang menjadi korban keganasan agama antara penduduk Kristian dan Islam di bandar Jos, Nigeria, kelmarin.- AP


JOS, Nigeria 8 Mac - Kerajaan Nigeria mengerah tentera ke wilayah bergolak utara Jos hari ini selepas kumpulan-kumpulan bersenjatakan parang menyerang kampung-kampung yang menurut para pegawai menyebabkan sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh.

Menghadapi tekanan hebat ekoran kegagalan mengekang penularan keganasan puak hanya beberapa minggu selepas ratusan orang terbunuh dalam pergaduhan melibatkan orang Islam dan Kristian, pihak berkuasa Nigeria berkata, puluhan orang ditangkap berkaitan serangan tersebut.

Akhbar-akhbar melaporkan, penduduk Islam di kampung-kampung tersebut telah diberi amaran menerusi pesanan ringkas telefon dua hari sebelum serangan agar mereka boleh melarikan diri.

Saksi kejadian pula berkata, mangsa yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dalam serangan ganas sistematik selama tiga jam semalam itu ditangkap menggunakan perangkap haiwan dan pukat nelayan ketika mereka cuba melarikan diri daripada para penyerang yang kemudiannya menetak mereka hingga mati.

Angka rasmi korban pada awalnya berjumlah lebih sedikit daripada 100 orang namun Penasihat Kerajaan Negeri Plateau, Dan Manjang berkata, jumlahnya jauh lebih besar.

''Kami berjaya memberkas 95 orang namun pada ketika yang sama lebih 500 orang sudah dibunuh dengan kejam,'' katanya.

Siaran radio kerajaan juga melaporkan 500 orang telah disembelih dalam serbuan ke atas tiga kampung di pinggir Jos, ibu negeri Plateau.

Saksi dan aktivis hak asasi meletakkan angka korban antara 200 hingga 250 orang.

Sebahagian besar keganasan tertumpu di sekitar kampung Dogo Nahawa di mana kumpulan-kumpulan yang kebanyakannya dianggotai oleh etnik Fulani beragama Islam membakar pondok-pondok tanah beratapkan jerami kering sebelum melakukan pembunuhan.

Mereka juga berkata, serangan tersebut menunjukkan permusuhan ketara antara puak Fulani dan Berom yang pada mulanya berpunca daripada kecurian lembu sebelum menular kepada serangan membalas dendam.

Aktivis hak asasi berkata, serangan semalam kelihatan seperti tindakan membalas dendam terhadap serangan pada awal tahun ini di mana kebanyakan yang terbunuh adalah orang Islam.

Dalam serangan pada Januari lalu itu, polis berkata, 326 terbunuh tetapi kumpulan hak asasi berkata, jumlah kematian adalah melebihi 550 orang. - AFP

Sumber

PAKISTAN: 11 maut serangan bom di Lahore



SERANGAN bom berani mati mengakibatkan bangunan unit siasatan pengganas di Lahore, Pakistan musnah sama sekali serta membunuh 11 orang dan mencederakan lebih 60 orang semalam. - AFP


LAHORE 8 Mac - Satu letupan kenderaan memusnahkan pejabat kerajaan yang digunakan untuk menyoal siasat suspek militan mengakibatkan 11 orang terkorban, dalam serangan terbaru di bandar raya ini, hari ini.

Seorang wanita dan anak perempuannya adalah antara mangsa yang terbunuh.

Lebih 60 lagi cedera dan ramai terperangkap di bawah runtuhan bangunan apabila kenderaan yang memuatkan lebih 600 kilogram bahan letupan itu meletup di unit siasatan di bandar kedua terbesar Pakistan ini.

Keadaan menjadi panik dengan pasukan penyelamat dan sukarelawan berusaha menyelamatkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan dua tingkat itu menggunakan tangan.

Lebih 3,000 orang terbunuh dalam serangan berani mati di seluruh Pakistan sejak Julai 2007, kempen maut yang dilancarkan pihak militan bagi menentang perikatan kerajaan dengan AS.

"Satu letupan kuat kedengaran pada kira-kira pukul 8.15 pagi (11.15 pagi waktu Malaysia) dan turut menggegarkan kediaman saya.

"Saya bergegas keluar dan melihat kepulan asap di udara," kata Nasim-ur-Rehma yang tinggal kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian di Model Town.

Letupan tersebut membentuk satu kawah besar berukuran tiga meter dalam dan kira-kira enam meter lebar, merosakkan bumbung serta mengakibatkan jalan raya dipenuhi dahan pokok.

Jentolak dan jentera berat sedang membersihkan runtuhan bangunan.

Kaca yang berterbangan pula menyebabkan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan cedera.

Ketua polis bandar raya Lahore, Pervez Rathore berkata, pejabat tersebut ialah unit siasatan khas polis. Ia digunakan untuk menyoal siasat suspek pengganas.

"Saya bimbang angka kematian mungkin meningkat. Kami percaya masih ada yang terperangkap di bawah runtuhan," katanya.

Menurut polis, dianggarkan antara 30 orang dan 50 orang berada dalam bangunan tersebut ketika serangan berlaku. - AFP

Sumber

Monday, March 8, 2010

IRAQ dihujani bom mortar

BAGHDAD 7 Mac – Gelombang pengeboman dan serangan mortar yang menggegarkan Iraq hari ini meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa pada hari berlangsungnya pilihan raya umum kedua negara ini selepas tentera penceroboh Amerika Syarikat (AS) menggulingkan Saddam Hussein tujuh tahun lalu.

Berpuluh-puluh serangan mortar menghujani Baghdad tidak lama selepas pusat pengundian dibuka untuk pilihan raya yang sebelum ini diancam untuk disabotaj al-Qaeda, demikian menurut pegawai keselamatan.

Fallujah, Baquba, Samarra dan beberapa bandar di seluruh negara turut diserang dengan mortar atau bom, kebanyakannya meletup dekat pusat pengundian.

Namun serangan paling banyak meragut nyawa berlaku di ibu negara Iraq, Baghdad.
Letupan kuat merobohkan bangunan kediaman, membunuh 12 orang dan mencederakan lapan yang lain, diikuti dengan letupan kedua yang mengorbankan empat lagi mangsa dengan lapan dilaporkan cedera apabila sebuah lagi bangunan diserang dengan menggunakan dinamit.

Pegawai berkata, empat lagi maut akibat serangan mortar manakala baki empat yang lain terbunuh dalam beberapa serangan bom yang turut mencederakan sejumlah 40 orang.

Serangan berlaku walaupun operasi kawalan keselamatan diperketat untuk pilihan raya hari ini, dengan kehadiran 200,000 anggota polis dan tentera dikerahkan di Baghdad sahaja.

Perdana Menteri, Nuri al-Maliki menyifatkan serangan sebagai ‘bunyi bising untuk menakutkan orang ramai tetapi rakyat Iraq adalah golongan yang sukakan cabaran dan ini tidak akan menjejaskan moral mereka’.

Maliki mengundi dalam ‘Zon Hijau’ Baghdad yang dikawal ketat yang turut berdepan beberapa serangan mortar pagi tadi.

Abu Adel, 57, seorang pesara yang menjadi rakyat Iraq pertama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di pusat pengundian Omar al-Mokhtar di tengah Baghdad, bersetuju dengan Maliki.

“Menjadi satu kewajipan untuk turut serta dalam proses demokratik,” katanya lagi.
Puak Sunah dijangka keluar mengundi beramai-ramai di pusat-pusat pengundian, keadaan berbeza berbanding tahun 2005 yang mana pilihan raya diboikot sebagai protes kepada kebangkitan kuasa majoriti puak Syiah.

Boikot itu merumitkan lagi jurang berpuak dan meningkatkan ketegangan yang seterusnya membawa korban kepada berpuluh-puluh ribu nyawa selepas pencerobohan AS pada 2003 dan hanya dapat diredakan sejak dua tahun lalu. – AFP

Sumber

Thursday, March 4, 2010

Bantuan mula tiba di Chile


SANTIAGO 3 Mac - Bantuan dari negara-negara jiran Amerika Latin mula tiba di Chile semalam, selepas Presiden Michelle Bachelet merayu bantuan dalam menghadapi kemusnahan bencana gempa bumi kuat yang mengorbankan lebih 700 nyawa.

Lapangan terbang Santiago yang musnah, menyaksikan kemasukan pertama bekalan dari rantau tersebut sejak rayuan rasmi Bachelet, meliputi bekalan bantuan seperti jambatan bergerak, hospital sementara, telefon satelit, penjana elektrik dan sistem pembersihan air.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton yang melawat, turut membawa 20 telefon satelit serta seorang juruteknik, manakala sebuah pesawat tentera Argentina dilihat memunggah peralatan serta barangan hospital, sementara bagi merawat mangsa gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter yang menggegar selatan bahagian tengah Chile Sabtu lalu.

Presiden Alan Garcia dari Peru, jiran Chile di utara yang mengalami ketegangan hubungan antara kedua-dua negara sejak beberapa tahun lalu berhubung isu perdagangan serta pertelingkahan sempadan, dilapor berada di Santiago bagi menggambarkan perpaduan dan mengawasi sendiri penghantaran 30 tan bantuan kemanusiaan.

"Kami membawa mesej persaudaraan dan perpaduan," kata Garcia dalam satu ucapannya di lapangan terbang sambil menyatakan bahawa Peru juga pernah menjadi mangsa gempa bumi serta bencana-bencana alam lain.

Menurut Presiden itu, Lima menghantar sebuah hospital sementara, kakitangan perubatan dan bekalan lain seperti khemah dan selimut bagi disalurkan kepada beratus-ratus ribu mangsa gempa bumi yang hilang tempat tinggal.

Bolivia mengumumkan, pihaknya menghantar 40 tan bantuan kemanusiaan serta 40,000 liter air minuman yang telah pun tiba di Chile.

Duta Chile di Cuba, Gabriel Gaspar berkata, Havana telah berjanji untuk menghantar pasukan perubatan yang terdiri daripada 27 kakitangan.

Sementara bantuan dari negara-negara jiran terus memasuki Chile, beribu-ribu tentera tambahan ditempatkan di seluruh negara itu semalam bagi mengawal pencuri serta proses pengagihan bantuan kepada mangsa yang terdesak.

"Kumpulan samseng kini menguasai bandar. Kami tidak lagi takut kepada gempa bumi, tetapi gerun terhadap penjenayah," kata Datuk Bandar Hualpen, Marcelo Rivera. - AFP

Sumber

Tiga serangan bom di IRAQ, 33 maut


BAQUBA, Iraq 3 Mac - Tiga serangan bom berani mati di bandar tengah Iraq ini meragut sekurang-kurangnya 33 nyawa dan mencederakan 55 yang lain hari ini, beberapa hari sebelum pilihan raya umum bermula.

Letupan yang paling banyak mengorbankan penduduk di negara ini dalam masa sebulan, memaksa polis mengenakan perintah berkurung di bandar yang terletak 60 kilometer di utara Baghdad ini.

Serangan berlaku walaupun kawalan keselamatan di seluruh negara dipertingkatkan menjelang pilihan raya Ahad ini dan selepas pemimpin al-Qaeda in Iraq (AQI), Abu Omar al-Baghdadi mengancam untuk mengganggu proses pengundian dengan 'cara ketenteraan'.

Dua letupan berani mati hampir serentak menggunakan kenderaan berlaku di pejabat Jabatan Perumahan Wilayah dan di persimpangan jalan yang berdekatan pada pukul 9.30 pagi tadi (pukul 2.30 petang waktu Malaysia), manakala seorang lelaki meletupkan diri di hospital besar Baquba di mana mangsa serangan lebih awal dirawat.

"Tiga pengeboman ini membunuh 33 orang. Pengebom ketiga cuba meletupkan diri dengan menyasarkan serangan ke atas ketua polis yang datang melawat mangsa yang cedera," kata seorang pegawai keselamatan.

Ketua Polis, Mejar Jeneral Abdul Hussein al-Shimmari tidak mengalami sebarang kecederaan namun pengawal peribadinya cedera. Ketua kesihatan wilayah, Dr. Ali al-Timimi juga cedera.

Kenderaan pertama merempuh pintu masuk jabatan perumahan wilayah yang terletak bersebelahan balai polis sebelum meletup.

Tidak lama kemudian di satu simpang berdekatan, seorang pengebom berani mati meletupkan bahan letupan dalam kereta yang dinaikinya, menyebabkan satu letupan kuat. Letupan di hospital pula berlaku tidak lama kemudian dalam insiden terbunuh melanda Iraq sejak 5 Februari lalu apabila 41 orang puak Syiah terbunuh pada hari terakhir upacara keagamaan di Karbala.

Rakyat Iraq akan keluar mengundi pada 7 Mac ini, pilihan raya kedua sejak Saddam Hussein digulingkan dalam pencerobohan tentera Amerika Syarikat pada 2003. - AFP

Sumber

UGANDA: Tanah runtuh di Uganda, 86 maut



ANGGOTA tentera dan penduduk awam Uganda mengorek tanah di kawasan kejadian tanah runtuh di daerah Mbale, timur Uganda, kelmarin. - AFP


KAMPALA 3 Mac - Satu kejadian tanah runtuh di timur Uganda semalam yang mengorbankan sekurang- kurangnya 86 orang, memaksa penduduk kampung menggali tanah menggunakan tangan serta peralatan kecil dalam usaha mencari mangsa yang masih hidup.

Media Uganda melaporkan, tanah runtuh itu berlaku di sebuah kampung dekat timur daerah Bududa di kaki bukit Gunung Elgon malam kelmarin, selepas hujan lebat selama tujuh jam.

"Laporan terkini menyatakan, sebanyak 86 mayat telah ditemui," kata Menteri Persediaan Bencana dan Pelarian, Tarsis Kabwegyere kepada Reuters.

Rangkaian televisyen tempatan, NTV, turut menyiarkan kemusnahan akibat tanah runtuh itu yang membawa lumpur pekat sehingga meranapkan rumah-rumah, sementara penduduk kampung dilihat mengumpulkan mayat-mayat di sebuah kawasan berumput.

"Kira-kira 300 orang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan tanah itu dan bencana alam ini dijangka akan berlaku lagi berikutan keadaan hujan yang semakin buruk di wilayah ini," kata Kabwegyere.

Beliau berkata, satu pasukan kecemasan kerajaan telah pun dihantar ke tempat kejadian dengan bekalan makanan, sementara Persatuan Palang Merah telah menghantar doktor-doktor.

Tambahnya, anggota polis dan sukarelawan turut membantu operasi menyelamat.

Ahli Parlimen tempatan, David Wakikoona berkata, beliau telah dimaklumkan oleh penduduk kampung bahawa terdapat kira-kira 100 hingga 150 orang di dalam sebuah pusat perniagaan ketika batu-batu besar menggelongsor dari lereng bukit bersama-sama lumpur.

Katanya, hanya lapan orang dilapor selamat setakat ini.

"Jumlah kematian mungkin melebihi 100 orang," katanya. - Reuters

Sumber

Wednesday, March 3, 2010

PALESTIN: Pemimpin Hamas 'buang' anak yang murtad


BAITULMAQDIS 2 Mac - Seorang pemimpin kanan Hamas semalam mengisytiharkan seorang lelaki bukan lagi anaknya beberapa hari selepas pemuda itu mengumumkan bahawa dia menjadi pengintip secara rahsia kepada Israel dan membantu memburu anggota kumpulan pejuang tersebut.

Laman web Hamas semalam menyiarkan sekeping surat yang ditulis oleh Sheikh Hassan Yousef yang dikatakan diseludup keluar dari penjara Israel di mana beliau dipenjarakan selama enam tahun.

Dalam surat itu, beliau berkata, keluarganya mengumumkan 'telah memutuskan hubungan kekeluargaan' dengan Mosab Yousef.

Sheikh Hassan berkata, beliau sangat kesal untuk mengambil tindakan tersebut namun tiada pilihan lain selepas anak lelakinya itu 'murtad... dan bekerjasama dengan musuh kami".

Beliau yang membantu mengasaskan kumpulan pejuang tersebut dua dekad lalu, telah dimalukan pada tahun lepas apabila anak sulungnya itu mengumumkan bahawa dirinya telah murtad dan memeluk agama Kristian.

Pemuda itu kemudiannya memberitahu akhbar Israel pada minggu lepas bahawa dia telah membantu perisikan Israel membongkar serangan pejuang Palestin dan memburu pemimpin-pemimpin Hamas termasuk bapanya. - AP

Sumber

PALESTIN: Lagi tindakan kontroversi Israel di Baitulmaqdis


BAITULMAQDIS 2 Mac - Pihak berkuasa Israel hari ini mengumumkan pembinaan sebuah taman arkeologi baru di Baitulmaqdis, yang melibatkan tindakan merobohkan berpuluh-puluh rumah penduduk Arab dan memarakkan lagi kekacauan di kota suci ini.

Pejabat Datuk Bandar Baitulmaqdis, Nir Barkat dalam satu kenyataan berkata, pengumuman tersebut melibatkan pembinaan sebuah projek di Taman Raja, nama Hebrew bagi kawasan di luar Kota Lama Baitulmaqdis yang dikenali sebagai Al-Bustan di kalangan penduduk Arab.

Kawasan berkenaan adalah sebahagian daripada 'Lembah Suci', dipercayai oleh penganut Yahudi sebagai tapak Baitulmaqdis purba semasa zaman Nabi Daud dan Nabi Sulaiman.

Kini penduduk Arab menjadi majoriti di kawasan tersebut,di bahagian kota suci yang diduduki oleh Israel dalam Perang Asia Barat 1967 dan dirampas menjadi sebahagian wilayahnya dalam langkah yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Jika diteruskan, projek itu boleh memarakkan lagi kemarahan penduduk Arab berikutan pertempuran pada awal minggu ini antara penduduk Palestin dengan polis Israel yang menceroboh masuk ke pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Media Israel melaporkan, rancangan berkenaan melibatkan langkah memusnahkan berpuluh-puluh rumah yang dibina tanpa permit oleh pihak berkuasa Israel, sesetengahnya berusia puluhan tahun, dan pembayaran pampasan kepada para pemiliknya dalam bentuk premis perniagaan di taman baru itu.

Projek itu juga dijangka melibatkan pemberian kelulusan untuk sebuah bangunan tujuh tingkat yang dibina tanpa permit oleh pendatang haram Yahudi pada 2004 di kawasan yang sama. Pada bulan lepas, sebuah mahkamah Israel mengarahkan bangunan itu disita. - AFP

Sumber

CHILE: Mangsa gempa terdesak mencuri



SEBUAH bot terdampar di tengah-tengah pekan setelah dipukul tsunami di bandar Talcahuano, ekoran kejadian gempa bumi yang melanda Chile, kelmarin. – AFP


CONCEPTION 2 Mac – Kejadian mencuri menjadi-jadi di bandar ini semalam dengan pencuri bertindak menyamun kedai-kedai dan membakar dua daripada premis tersebut, berikutan mangsa gempa bumi yang terdesak mendapatkan makanan, berang dengan tindakan pasukan keselamatan menghalang laluan mereka.

“Mereka mempunyai semuanya, mereka ada minuman, makanan dan lampin, namun polis tidak membenarkan kami masuk ke dalam,” adu seorang lelaki yang berdiri di sebelah sebuah pasar raya di Conception, selepas satu perintah berkurung dikuatkuasakan semalaman dalam usaha menghentikan kejadian kecurian serta keganasan.

Anggota polis dan tentera juga dilihat berkawal dan cuba menghalang laluan pencuri-pencuri sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan orang ramai.

“Keadaan akan menjadi baik sekiranya mereka mengagih-agihkan barangan itu kepada kami, atau sekurang-kurangnya menjualnya kepada kami,” sungut Carmen Norin, 42.

Keadaan semakin tegang apabila polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai yang marah, yang kemudian menyerang pasar raya Bigger serta membakarnya selepas mereka dihalang memasuki premis terbabit.

Api yang marak mengeluarkan kepulan asap hitam di tengah-tengah bandar Conception yang rosak teruk, sebuah daripada bandar yang terjejas teruk akibat gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter Sabtu lalu, yang turut mengorbankan lebih 700 nyawa.

Bumbung pasar raya Bigger runtuh dalam kebakaran itu, mengakibatkan seorang anggota bomba sukarela cedera di bandar tepi pantai yang dihuni kira-kira 600,000 penduduk, kira-kira 500 kilometer dari selatan Santiago.

Seorang individu yang tiba-tiba menjerit, berjaya diselamatkan anggota bomba.

Pasar raya tersebut merupakan premis kedua yang dibakar semalam, ketika pencuri-pencuri di Conception bertindak semakin agresif dengan memanjat bas-bas yang ditinggalkan untuk mencuri serta merosakkan rumah-rumah.

“Selain pasar raya, pencuri-pencuri turut menyamun balai bomba. Kami faham yang mereka perlu makanan, tetapi sekiranya mereka menyamun hospital dan klinik, bagaimana kami boleh merawat mangsa gempa yang terdiri daripada rakyat Chile sendiri?” kata Ketua Jabatan Bomba Conception, Jaime Jara. – AFP

Sumber