Ketua perunding Palestin Saeb Erakat, bagaimanapun, menyangkal laporan rangkaian televisyen berpusat di Doha itu, menyatakan kepemimpinan Palestin tiada ‘apa yang mahu disembunyikan’ dan menolak kebanyakan butir laporan berkenaan sebagai ‘penipuan’.
Al-Jazeera melaporkan kawasan Baitulmaqdis yang ditawarkan membabitkan penempatan haram Yahudi sudah dibina termasuk French Hill, Ramat Alon dan Gilo serta Jewish Quarter dan sebahagian Armenian Quarter di bandar lama Baitulmaqdis.
Al-Jazeera berkata tuntutan itu muncul dalam satu pertemuan Jun 2008 di Baitulmaqdis di antara Condoleezza Rice, ketika itu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Menteri Luar Israel ketika itu Tzipi Livni dan bekas Perdana Menteri Palestin Ahmad Qorei serta Erakat.
“Cadangan terakhir ini mungkin membantu dalam proses pertukaran,” Qorei dipetik sebagai berkata dalam ‘Dokumen Palestin’.
“Kami mencadangkan bahawa Israel menduduki semua penempatan di Baitulmaqdis kecuali Jabal Abu Ghneim (Har Homa),” katanya dalam dokumen dipetik oleh saluran berita itu.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah kami membuat cadangan sedemikian; kami enggan melakukannya di Kem David,” beliau menambah merujuk kepada rundingan damai Kem David 2000 dianjurkan Amerika dihadiri Allahyarham pemimpin Palestin Yasser Arafat.
Namun “pihak Israel enggan menerimanya, malah enggan meletakkan Baitulmaqdis dalam agenda, lebih-lebih lagi menawar balas tawaran Pihak Berkuasa Palestin (PA) itu,” kata laporan berkenaan.
Qorei memberitahu Livni dalam pertemuan Jun 2008, tiada rundingan boleh dibuat berhubung penempatan Yahudi di Tebing Barat, menurut Dokumen Palestin.
Laporan itu muncul ketika kuasa dunia mencari jalan memujuk Israel dan Palestin kembali ke meja rundingan selepas rundingan damai langsung tertangguh September lalu berikutan langkah Tel Aviv untuk meneruskan rancangannya membina penempatan haram.
Washington kelmarin berkata ia sedang mengkaji ‘tawaran Palestin’ berkenaan. – AFP
Sumber
0 comments:
Post a Comment