BEIRUT 17 Jan. - Ketua pergerakan Hezbollah, Hassan Nasrallah berikrar akan mempertahankan pergerakan pimpinannya itu bagi menghadapi dakwaan yang mungkin akan dibuat ke atas mereka berhubung kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafiq Hariri.
Kenyataan itu dibuat menjelang proses pendakwaan yang dijangka dijalankan berhubung kes itu.
"Kami tidak akan membenarkan reputasi dan maruah kami dicemarkan. Kami juga tidak akan membenarkan sesiapa pun berkomplot menentang kami atau melakukan sesuatu yang tidak adil ke atas kami berhubung kematian Hariri.
"Kami akan mempertahankan maruah, kewujudan dan reputasi kami," kata Nasrallah, sambil mengulangi tuduhannya sebelum ini bahawa Tribunal Khas untuk Lebanon (STL) yang beribu pejabat di Belanda dikawal oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Pemimpin Syiah itu berkata, parti pimpinannya akan mendedahkan bagaimana mereka akan mempertahankan diri dalam pendakwaan itu beberapa hari lagi.
Pendakwa raya tribunal yang mendapat sokongan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka menghantar dakwaan mereka berhubung insiden pembunuhan pada 2005 itu untuk pra-perbicaraan hari ini.
Menurut pegawai Lebanon, kerajaan telah dimaklumkan bahawa pendakwaan yang kandungannya tidak akan didedahkan kepada umum itu akan dihantar hari ini. - AFP
0 comments:
Post a Comment