Monday, January 17, 2011

PALESTIN: Israel lulus bina 1,400 lagi rumah Yahudi

BAITULMAQDIS 16 Jan. - Israel akan meluluskan sebuah projek baru pembinaan besar-besaran melibatkan sekurang-kurangnya 1,400 buah rumah di sebuah kawasan penempatan haram Yahudi di timur Baitulmaqdis.

Projek perumahan itu akan dibina di kawasan penempatan Gilo, dekat Baitulaham, dan dijangka diluluskan oleh suruhanjaya perancangan daerah dalam masa beberapa hari akan datang, lapor radio tentera Israel hari ini.

Anggota majlis perbandaran yang diwawancara oleh radio itu mengesahkan projek tersebut, yang dikecam oleh golongan berhaluan kiri tetapi disambut baik oleh kem berhaluan kanan di Israel.

"Tidak syak lagi lampu hijau untuk projek pembinaan itu akan menandakan pukulan maut bagi proses damai dengan Palestin," kata anggota majlis perbandaran Baitulmaqdis, Meir Margalit daripada parti Meretz yang berhaluan kiri. - AFP

Rundingan damai antara Israel dengan Palestin menemui jalan buntu disebabkan isu penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.

Palestin enggan berunding dengan Israel selagi rejim Zionis terus membina rumah-rumah di wilayah yang mereka tuntut untuk dijadikan sebuah negara Palestin, tetapi Israel berdegil untuk meneruskan kegiatan pembinaan tersebut.

"Gilo adalah sebahagian Baitulmaqdis dan pembinaan di kawasan penempatan itu tidak boleh dipertikaikan di Israel," kata Elisha Peleg, seorang anggota majlis perbandaran daripada Parti Likud yang berhaluan kanan, pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Projek yang dirancang oleh firma swasta itu dijangka siap dalam tempoh hampir empat tahun kerana kesukaran untuk melakukan kerja pembinaan di lereng curam di pinggir kota Baitulaham, Tebing Barat.

Projek pembinaan itu juga dijangka mendapat kritikan keras masyarakat antarabangsa.

Pada Mac 2010, Kementerian Dalam Negeri Israel mengumumkan rancangan untuk membina 1,600 rumah di Ramat Shlomo, sebuah kawasan penempatan Yahudi Ortodoks di timur Baitulmaqdis.

Pengumuman yang dibuat semasa lawatan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ke Israel itu mencetuskan bantahan keras AS dan mengeruhkan hubungan Israel dengan Washington selama berbulan-bulan. - AFP

Sumber

0 comments: