TUNIS 28 Jan. - Perdana Menteri Tunisia, Mohammed Ghannouchi memecat sekutu-sekutu utama bekas Presiden Zine El Abidine Ben Ali, termasuk menteri pertahanan dan menteri dalam negeri, tetapi tindakan itu gagal meredakan tekanan supaya beliau sendiri meletakkan jawatan.
Beratus-ratus penunjuk perasaan antikerajaan berkhemah di hadapan pejabat Ghannouchi di sini sejak Ahad lalu untuk terus mengenakan tekanan ke atas Perdana Menteri itu supaya beliau berundur.
"Majoriti mahu terus berkempen untuk menjatuhkan kerajaan Ghannouchi. Seluruh kerajaan mesti meletakkan jawatan, terutamanya Ghannouchi," kata seorang pelajar, Khaled Salhi, 23, yang menggambarkan rombakan Kabinet malam tadi sebagai 'melengah-lengahkan masa'.
Ghannouchi semalam berkata, beliau akan terus berkhidmat tetapi beliau bertindak memecat lima menteri dalam kerajaan Ben Ali setelah mereka dikecam oleh penunjuk perasaan.
Tiga bekas sekutu Ben Ali, termasuk Ghannouchi sendiri kekal dalam Kabinet.
"Ini hanya kerajaan sementara yang mempunyai misi yang jelas iaitu untuk melaksanakan proses peralihan kepada demokrasi," kata Ghannouchi dalam ucapan di televisyen.
Beliau menyeru rakyat Tunisia supaya menghentikan protes dan kembali ke tempat kerja.
Kesatuan sekerja utama Tunisia, UGTT yang memainkan peranan utama dalam protes anti-Ben Ali dan sebelum ini enggan mengiktiraf Kabinet sementara, kini menyatakan sokongan terhadap kerajaan Ghannouchi. - AFP
0 comments:
Post a Comment