Friday, February 4, 2011

20,000 anjur protes di YEMEN



Beribu-ribu penduduk Yemen berhimpun sambil membawa bendera negara itu dan sepanduk bagi menuntut kerajaan Yemen berundur di Sanaa, Yemen, semalam. – AP


SANAA 3 Feb. – Lebih 20,000 rakyat Yemen membanjiri jalan-jalan raya di ibu negara ini hari ini dalam perhimpunan yang dipanggil ‘Hari Kemarahan’ bagi menuntut pertukaran kerajaan, sambil menyifatkan tawaran Presiden Ali Abdullah Saleh untuk berundur pada 2013 sebagai tidak memadai.

Sementara itu, beribu-ribu lagi penunjuk perasaan yang menyokong kerajaan turut mengadakan demonstrasi di lokasi berasingan.

Lebih banyak protes menentang dan menyokong kerajaan dijangka dilancarkan di seluruh Yemen, yang diperintah oleh Saleh sejak lebih tiga dekad lalu.

Para penyokong Presiden itu kelihatan menaiki kenderaan di serata ibu negara untuk menggesa rakyat Yemen menerusi pembesar suara supaya menyertai demonstrasi prokerajaan.

Namun menjelang pagi, penunjuk perasaan antikerajaan sudah pun mengadakan perhimpunan terbesar sejak gelombang protes melanda negara di Semenanjung Arab ini dua minggu lalu, mendapat inspirasi daripada protes yang menjatuhkan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dan kini mengancam Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

“Rakyat menuntut perubahan rejim. Tolak rasuah, tolak pemerintahan diktator,” jerit penunjuk perasaan di luar Universiti Sanaa.

Saleh yang memerhatikan kekacauan yang merebak di dunia Arab, semalam mengumumkan bahawa beliau akan berundur apabila penggal perkhidmatannya berakhir pada 2013, dan berjanji anak lelakinya tidak akan mengambil alih tampuk kerajaan, antara beberapa konsesi politik yang ditawarkan.

Konsesi itu adalah percaturan paling berani yang dilakukan oleh Saleh untuk mencegah huru-hara di Yemen, sekutu utama Amerika Syarikat (AS) dalam memerangi pertubuhan al-Qaeda, dan mengelakkan konfrontasi dengan pembangkang yang boleh mencetuskan pemberontakan seperti di Mesir.

Penganjur protes hari ini, Wael Mansour berkata, rakyat Yemen tidak berpuas hati dengan konsesi Saleh itu.

“Hari ini tekanan lebih hebat akan dikenakan ke atas Saleh yang perlu menawarkan lebih banyak konsesi kepada pembangkang,” katanya. – Reuters

Sumber

0 comments: