![]() |
| sebahagian penunjuk perasaan yang masih berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah mengerjakan solat berjemaah, semalam. - AFP |
WASHINGTON 6 Feb. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menghubungi beberapa pemimpin asing mengenai kekacauan di Mesir, dipercayai untuk mendapatkan sokongan daripada mereka terhadap usaha diplomatik Washington bagi mewujudkan peralihan kuasa yang segera di Kaherah.
Obama menekankan keperluan supaya 'peralihan kuasa yang teratur berlaku secara aman, mulai sekarang', menurut kenyataan White House semalam, sementara tunjuk perasaan selama 13 hari itu bagi menuntut Presiden Hosni Mubarak berundur tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Presiden AS itu berunding dengan Putera Mahkota Mohammed bin Zayed dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Canselor Jerman, Angela Merkel.
Washington juga dilihat tidak menyokong kenyataan bekas Dutanya ke Mesir, Frank Wisner bahawa Mubarak perlu meneruskan perkhidmatannya semasa tempoh peralihan.
Wisner yang menemui Mubarak atas permintaan Obama minggu ini 'bercakap untuk dirinya sendiri dan bukan untuk kerajaan AS', kata seorang pegawai kanan pentadbiran Obama di Washington.
Akhbar New York Times pula melaporkan, pegawai pentadbiran Obama menerusi panggilan telefon dan e-mel dari White House, Jabatan Negara dan Pentagon telah menggesa penubuhan sebuah 'majlis tokoh terkemuka' di Mesir untuk mula merangka pindaan terhadap perlembagaan negara itu.
Mesej-mesej itu juga menggalakkan Naib Presiden Omar Suleiman supaya melancarkan rundingan dengan pelbagai pemimpin pembangkang, termasuk Ikhwan Muslimin, menurut akhbar itu. - AFP

0 comments:
Post a Comment