Sunday, February 20, 2011

AS tolak resolusi PBB kutuk pembinaan haram Yahudi

AS tolak resolusi PBB kutuk pembinaan haram Yahudi


RAKYAT Palestin membakar bendera Amerika Syarikat (AS) dalam satu protes menuntut pemecahan Genting Gaza dan Tebing Barat ditamatkan di Ramallah, kelmarin. - AFP


RAMALLAH 19 Feb. - Kuasa veto Amerika Syarikat (AS) dalam menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengutuk projek pembinaan perumahan haram Israel dilabel sebagai 'malang dan mempengaruhi kredibiliti pentadbiran negara itu'.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Abed Rabbo berkata, ekoran tindakan itu, Palestin akan menilai semula semua proses rundingan dalam mencapai keamanan di Asia Barat.

"Rakyat Palestin mahu penjajahan dan pencerobohan ditamatkan. Penjajahan tidak boleh diterima dan ia bermula secara haram di kawasan kami,'' kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas sejurus sebelum Majlis Keselamatan mengundi resolusi itu.

Beribu-ribu rakyat Palestin mengadakan demonstrasi bantahan terhadap penggunaan kuasa veto itu di Ramallah semalam.

Duta AS ke PBB, Susan Rice berkata, Washington 'kesal' menentang draf resolusi itu dan memberi amaran ia tidak harus dilihat oleh Israel sebagai sokongan untuk meneruskan pembinaan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur.

Sebelum proses mengundi resolusi itu, AS meningkatkan desakan ke atas Palestin untuk menarik balik sokongannya terhadap resolusi itu termasuk Abbas menolak rayuan secara langsung daripada Presiden AS, Barrack Obama.

Obama mencadangkan Majlis Keselamatan akan mengeluarkan kenyataan meminta Israel membekukan pembinaan berkenaan namun Abbas menolaknya.

Rundingan antara Israel dan Palestin gagal tahun lepas selepas tarikh pembekuan sementara pembinaan haram Yahudi di Tebing Barat tamat. - AFP

Sumber

0 comments: