Wednesday, February 16, 2011

Dua maut, berpuluh-puluh ditahan di IRAN



Penunjuk perasaan membakar sebuah tong sampah dalam satu bantahan antikerajaan di Teheran, Iran kelmarin. – AFP


TEHERAN 15 Feb. – Beribu-ribu aktivis pembangkang Iran semalam berhimpun bagi menyokong pemberontakan yang dilancarkan oleh penduduk di Mesir dan Tunisia, semalam.

Agensi berita separa rasmi, Fars melaporkan, dua individu maut sementara beberapa yang lain mengalami kecederaan.

Sebuah laman web pembangkang memberitahu, berpuluh-puluh penunjuk perasaan telah ditahan kerana menyertai protes haram yang bertujuan menguji kekuatan kumpulan reformis di republik Islam ini.

Sehingga lewat malam semalam, laungan ‘Allahu Akbar’ kedengaran dari atas bumbung beberapa bangunan di Teheran dalam mengenang kembali kejadian protes yang dilancarkan ke atas Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada 2009.

Lapan maut dalam tunjuk perasaan jalanan besar-besaran yang berlarutan selama sebulan itu dan mengakibatkan beberapa penangkapan serta pelaksanaan hukuman mati.

Seorang saksi berkata, pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan beribu-ribu penunjuk perasaan yang berarak menuju ke sebuah dataran di sini.

Beberapa siri pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan turut berlaku dan berpuluh-puluh penunjuk perasaan ditahan di bandar Isfahan.

Laporan Fars mengenai keganasan penunjuk perasaan itu jelas menggambarkan pendirian keras pihak berkuasa untuk membendung kebangkitan semula pihak pembangkang.

“Dua individu ditembak mati oleh penunjuk perasaan yang mengadakan perhimpunan di Teheran, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan,” lapor Fars tanpa memberikan butiran terperinci.

Beberapa penunjuk perasaan di sini melaungkan ‘Mati kepada diktator’ semasa protes yang berlarutan di sesetengah kawasan sehingga lewat malam itu. – REUTERS

Sumber

0 comments: