KOTA BHARU 1 Feb. - Kerajaan digesa menyegerakan usaha membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di Mesir kerana ramai yang terperangkap ekoran keadaan tidak menentu di negara itu.
Wan Mohd. Nawi Wan Hamid, 50, berkata, dia bimbang dengan keselamatan anaknya, Wan Nusalsabila, 20, yang kali terakhir dihubungi tiga hari lalu dan sempat memberitahu dia serta beberapa lagi penghuni blok asramanya telah dibawa ke balai polis atas faktor keselamatan.
"Saya cuma mendapat khabar tentang Nursalsabila daripada kakaknya, Wan Fatin Nabilah, 21, yang menuntut di Amman, Jordan yang memberitahu Nursalsabila ada menghubunginya dan memaklumkan keadaan di Mesir amat getir.
"Bekalan elektrik terputus, air tiada, makanan pun sangat kurang. Mujur juga dia masih boleh berhubung dengan kakaknya. Saya sangat bimbangkan anak saya itu apatah lagi apabila berlakunya krisis makanan di sana," katanya pada sidang akhbar anjuran Alumni Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) di sini hari ini.
Wan Mohd. Nawi yang juga seorang guru, turut merayu agar kerajaan dapat bertindak segera membantu pelajar-pelajar Malaysia lain yang masih berada di negara itu.
"Jika perlu bawa pulang, bawalah mereka pulang ke Malaysia," ujarnya.
Sementara itu, seorang pelajar Malaysia di Mesir yang selamat pulang ke tanah air kelmarin, Tengku Nurfar'ain Qistina Tuan Kamarul Baharin, 21, memberitahu, pengalaman yang dilaluinya sepanjang berada di sana cukup memeritkan.
Katanya, rata-rata pelajar yang menuntut di sana mengalami kesulitan kewangan apabila operasi bank dibekukan.
"Kami terputus dengan dunia luar apabila talian Internet turut dihentikan. Berita banduan melarikan diri amat menakutkan kami.
"Apabila perintah berkurung diarahkan sekitar pukul 4 petang Jumaat lalu, keadaan sangat menakutkan. Kami lihat segerombolan orang yang berparang dan bersenjatakan besi. Bunyi tembakan dan dentuman bom kedengaran di sana sini.
"Berbagai-bagai jeritan yang saya dengar antaranya, wanita yang menangis, menjerit serta salakan anjing menggerunkan, namun saya hanya berani mengintai dari tingkap," ujarnya.
Pelajar jurusan pergigian Universiti Al-Azhar, Kaherah itu memberitahu, dia dan dua yang lain tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 9.30 pagi kelmarin setelah menaiki pesawat Gulf Air.
"Keadaan di lapangan terbang Mesir sangat sibuk. Orang ramai hanya fikir untuk keluar dari bumi bergolak itu. Saya pulang bersama rakan sepengajian, Shahila Anuar dan ibunya.
Tengku Nurfar'ain Qistina menjelaskan, dia dapat pulang ke tanah air kerana ibu rakannya yang juga tinggal di Mesir memiliki kad kredit.
"Kalau ikutkan, duit saya memang tak cukup sebab tak boleh keluarkan duit di bank," ujarnya.
Pelajar yang berasal dari Kubang Kerian itu memberitahu, rakan-rakannya di Mesir sempat berpesan kepadanya sebelum dia bertolak ke lapangan terbang agar meminta bantuan bagi menyelamatkan mereka.
Sementara itu, seorang pelajar perubatan di Universiti Mansoura, Tengku Aniq Azwar Tuan Anuar, 23, berkata, para pelajar di sana masih menunggu tindakan lanjut daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah berhubung nasib mereka.
Katanya, ketika kali terakhir wakil pelajar di Mansoura menghubungi pihak kedutaan, mereka dimaklumkan supaya bersabar kerana tumpuan kedutaan ketika ini adalah menyelamatkan pelajar-pelajar di Kaherah dan Iskandariah.
''Ini kerana situasi di kedua-dua bandar itu lebih berbahaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Namun, Tengku Aniq Azwar menambah, kira-kira 1,500 pelajar Malaysia di bandar itu mula berasa bimbang kerana aksi tunjuk perasaan yang mula merebak ke bandar tersebut.
Katanya, pada pukul 12 tengah hari ini juga, ratusan rakyat Mesir memenuhi jalan-jalan raya di sekitar bandar itu dan berarak menuju ke bangunan kerajaan.
0 comments:
Post a Comment