KAHERAH 13 Feb. – Wujud suatu perasaan kebimbangan pada sebilangan besar rakyat Mesir mengenai masa depan mereka pasca Hosni Mubarak, apatah lagi nasib mereka kini di tangan majlis tertinggi tentera yang mengurus tadbir negara sebelum pilihan raya.
Kekhuatiran itu disuarakan tatkala rakyat Mesir memenuhi jalan raya, menari, melaungkan slogan merdeka sambil mengibar-gibarkan bendera untuk malam kedua berturut-turut merayakan pengunduran presiden yang telah memerintah Mesir secara kuku besi hampir 30 tahun.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kota Kaherah juga mendapati beberapa jalan utama di daerah-daerah perniagaan ditutup oleh orang ramai yang berhimpun dan merayakan secara beramai-ramai sambil bermain bunga api dan cahaya laser.
Perintah berkurung masih dikuatkuasakan oleh tentera tetapi lebih singkat iaitu dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi, berbanding kali terakhir Khamis lalu iaitu 8 malam hingga 6 pagi. Di simpang jalan yang sesak, terdapat dua anggota berpakaian seragam iaitu polis dan tentera mengawal lalu lintas.
Hari Ahad ini yang merupakan hari bekerja di Mesir, menyaksikan Kaherah kembali sibuk dan kesesakan luar biasa mewarnai semula jalan raya di seluruh Kaherah. Pos kawalan tentera di sebelah hotel yang didiami Utusan juga telah bersurai dan tiada lagi pagi ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Dataran Tahrir semalam mendapati pemeriksaan masuk oleh petugas keselamatan penunjuk perasaan masih wujud tetapi tidak seketat sebelum kejatuhan Mubarak. Anggota tentera dalam dua kereta kebal juga masih berada di akses utama tetapi kelihatan santai dan melayan permintaan orang ramai untuk bergambar di atas kereta kebal.
Sekumpulan anak muda yang merupakan pelajar kolej dan universiti, menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar dataran. Lengkap dengan penyapu dan plastik sampah, mereka berbuat demikian sebagai simbol kepada hari baru di Mesir. Ada yang memakai sepanduk yang dilekat pada baju ‘Maaf atas gangguan, kami sedang membina semula Mesir’.
Kumpulan penunjuk perasaan juga menari-nari di sekitar dataran dan di pentas utama, ketua-ketua penunjuk perasaan memberi ucapan kepada orang ramai. Mereka memberitahu mahu kekal berkampung di Dataran Tahrir sehingga kerajaan awam yang bebas dan terpilih berjaya dibentuk.
Di sebelah petang semalam, satu acara memperingati penunjuk perasaan yang terbunuh sepanjang 18 hari protes diadakan di dataran tersebut. Orang ramai menabur bunga di atas satu batu besar yang menjadi benteng keselamatan di situ.
Tamer Khyrat, 30, berasal dari daerah Giza di sini, telah menyertai tunjuk perasaan di Dataran Tahrir sejak seminggu yang lalu dan hari ini mahu pulang ke kampungnya untuk berehat.
‘‘Hari ini adalah hari yang hebat bagi semua rakyat Mesir. Hari ini kita bergembira. Tetapi saya tidak pasti apa akan berlaku esok dan hari-hari yang akan datang.
‘‘Ini kerana selepas Mubarak, kami belum ada calon presiden baru. Namun saya mahu percaya bahawa tentera akan memenuhi janji mereka untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat,” katanya.
Rakannya, Al-Rahman, 22, pula berharap rakyat Mesir kekal bersatu selepas berjaya menamatkan penguasaan Mubarak.
‘‘Jangan nanti bila berebut kuasa dalam pilihan raya, negara ini menjadi kucar-kacir. Hargailah pengorbanan syahid-syahid di dataran ini. Janganlah sia-siakan pengorbanan mereka,” katanya.
Seorang pekedai, Hussayn juga mengambil pendekatan realistik terhadap konflik di negaranya itu. ‘‘Sudah tiga minggu kawasan pelancongan tidak dikunjungi pelancong. Perniagaan saya dan semua di kawasan ini terjejas.
‘‘Saya gembira dengan apa yang berlaku kerana tidak ada pertumpahan darah. Tetapi saya tidak pasti apakah saya gembira dengan pengunduran Mubarak sebab kita tidak ada calon pengganti yang sehebat dia,” katanya.
Menurutnya, bagi golongan peniaga seperti dirinya, isu paling kritikal bagi mereka ialah bagaimana dapat mengekalkan kesinambungan hidup kesan daripada ketiadaan pelancong akibat penentangan terhadap Mubarak beberapa minggu ini. – UTUSAN
0 comments:
Post a Comment