KAHERAH 6 Feb. — Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman mengadakan rundingan dengan wakil-wakil kumpulan pembangkan utama buat pertama kalinya hari ini dan bersetuju melaksanakan kebebasan akhbar, membebaskan mereka yang ditahan sejak tunjuk perasaan antikerajaan tercetus 25 Januari lalu dan menarik balik undang-undang darurat selepas keadaan keselamatan terjamin.
Omar meluluskan satu pelan yang dikemukakan oleh pembangkang untuk menubuhkan jawatankuasa perundangan dan tokoh-tokoh politik untuk meneliti cadangan pindaan Perlembagaan yang akan membenarkan lebih ramai calon untuk bertanding jawatan Presiden dan memperkenalkan tempoh bagi pentadbiran Presiden, lapor agensi berita Mesir.
Jawatankuasa itu diberi tempoh sehingga minggu pertama Mac ini untuk menyelesaikan tugasnya.
Rejim itu juga digesa tidak akan mengkasari mereka yang menyertai tunjuk perasaan antikerajaan yang telah mendapat sokongan beribu-ribu penduduk uuntuk turun mengadakan bantahan.
Kerajaan juga berjanji tidak akan menganggu penghantaran mesej pesanan ringkas dan Internet.
Ia merupakan pertemuan terbesar melibatkan wakil-wakil daripada kumpulan pembangkang utama Mesir dengan Naib Presiden baru itu sejak tercetus tunjuk perasaan pada 25 Januari lalu bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan segera.
Persetujuan terbaru itu bagaimanapun tidak menyebut tentang sebarang rancangan Mubarak untuk meletakkan jawatan sebelum pilihan raya baru Presiden diadakan akhir tahun ini.
Kumpulan pembangkang diwakili penyokong golongan belia yang menyokong tokoh demokrasi Mohamed ElBaradei, Ikhwan Muslimin dan beberapa wakil daripada kumpulan kecil pembangkang daripada haluan kiri dan kumpulan liberal.– Agensi
0 comments:
Post a Comment