KAHERAH 15 Feb. - Peguam Negara Mesir, Abdul Meguid Mahmoud semalam mula menyiasat dakwaan rasuah terhadap bekas Presiden Hosni Mubarak berikutan permintaan daripada persatuan peguam negara ini.
Persatuan Peguam Mesir telah meminta pendakwa raya menyiasat sumber kekayaan Mubarak yang didakwa bernilai di antara AS$40 bilion (RM124 bilion) hingga AS$70 bilion (RM217 bilion).
Namun para peguam berkata, permintaan mereka adalah berasaskan laporan media dan kerana itu mereka menyeru 'rakyat yang berani' supaya mengemukakan sebarang bahan bukti yang ada pada mereka.
Persatuan tersebut turut melahirkan keraguan mengenai keupayaan Mahmoud, yang dilantik oleh Mubarak, untuk menjalankan siasatan secara objektif.
Dalam pada itu, Timbalan Peguam Negara, Adel el-Said menafikan laporan bahawa seramai 43 pegawai kerajaan dan ahli perniagaan sudah pun dibekukan aset mereka.
El-Said, antara kira-kira 12 pendakwa yang menyiasat kes-kes rasuah sejak kejatuhan Mubarak berkata, beliau tidak dapat mendedahkan bilangan sebenar mereka yang telah dibekukan aset sejak beberapa hari lalu.
Pejabat Peguam Negara telah pun memfailkan dakwaan terhadap tiga bekas menteri dan seorang ahli Parlimen, termasuk bekas Menteri Perumahan, Ahmed el-Maghrabi dan bekas Menteri Pelancongan, Zuhair Garana.
Aset mereka berempat telah dibekukan dan mereka dilarang meninggalkan negara ini. - Agensi
0 comments:
Post a Comment