Friday, February 4, 2011

MESIR: Tentera bina zon penampan

KAHERAH 3 Feb. - Tentera Mesir memisahkan penyokong dan penentang Presiden Hosni Mubarak di tengah ibu negara ini hari ini, dengan mengerahkan askar infantri bagi mewujudkan zon penampan dalam usaha menghentikan keganasan antara kedua-dua kumpulan.

Itulah kali pertama tentera dilihat bertindak tegas menghentikan keganasan yang setakat ini telah meragut tujuh nyawa dan mencederakan 836 lagi dalam tempoh 24 jam lalu.

Wartawan di Dataran Tahrir berkata, dua kem bertentangan itu dipisahkan dengan jarak kira-kira 80 meter.

Satu delegasi pegawai tinggi tentera diketuai oleh Jeneral Hassan al-Rouwainy memeriksa dataran itu dan bercakap dengan penganjur protes anti-Mubarak.

Mereka segera dikerumuni penunjuk perasaan yang meminta tentera melindungi mereka sambil melaungkan slogan: "Rakyat dan tentera berganding bahu" dan "Kami tidak akan berganjak".

Selepas kira-kira 15 minit, delegasi itu kembali ke satu kedudukan tentera dekat Muzium Mesir di pinggir dataran tersebut.

Sekurang-kurangnya 60 askar ditempatkan di zon penampan, berdiri dalam barisan menghadapi kedua-dua kem. - Reuters

Sumber

0 comments: