Thursday, February 17, 2011

PALESTIN: Lagi 120 rumah Yahudi dilulus

BAITULMAQDIS 15 Feb. - Majlis Perbandaran Baitulmaqdis semalam meluluskan pembinaan 120 unit rumah baru di kawasan penempatan haram Yahudi di Ramot, timur Baitulmaqdis.

Pemimpin pembangkang, Pepe Alalu dari Parti Meretz berkata, ia merupakan berita buruk buat penduduk di sini.

"Mereka meluluskan pembinaan 120 unit rumah di Ramot. Ada dua permit yang diluluskan iaitu melibatkan projek 56 unit rumah dan 64 unit rumah," katanya.

Keputusan itu dibuat menjelang kunjungan Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton yang mengatakan pembinaan rumah haram Yahudi di timur Baitulmaqdis hanya menjejaskan harapan melancarkan semula rundingan damai antara Israel dan Palestin.

Jurucakap kerajaan Palestin, Ghassan Khatib berkata, pengumuman tersebut sedikit pun tidak akan mengubah kenyataan kepada tindakan berkenaan.

"Ia tidak akan mengubah fakta yang ianya menyalahi undang-undang dan tidak boleh diterima.

"Kami mengkritik tindakan ini dan berharap Amerika Syarikat (AS) akan lebih efektif dalam membantu menghalang Israel dari terus meluaskan penempatan mereka terutamanya di Baitulmaqdis," ujarnya.

Stesen radio Israel melaporkan, bandar itu dijangka meluluskan pembinaan 19 rumah ibadat di kawasan penempatan haram Yahudi Har Homa di tenggara Baitulmaqdis berdekatan Baitulaham.

Radio tersebut yang memetik sumber majlis perbandaran melaporkan, Har Homa mempunyai 30,000 penduduk tetapi hanya mempunyai dua rumah ibadat yang tidak dapat menampung jumlah penduduk yang ramai. - AFP

Sumber

0 comments: