Saturday, February 5, 2011

Pelajar MALAYSIA di Jeddah dibenar pulang

JEDDAH 4 Feb. - Pelajar Malaysia dari Mesir yang dipindahkan sementara ke sini, dibenarkan pulang ke Malaysia pada bila-bila masa jika ibu bapa mereka menanggung sendiri kosnya.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Datuk Hidayat Abdul Hamid berkata, pihaknya akan membantu pelajar yang mahu berbuat demikian.

Katanya, mengikut pelan asal, kesemua pelajar Malaysia akan dipindahkan ke Jeddah dan tinggal di situ beberapa hari sehingga operasi di Kaherah selesai semuanya.

"Mengikut pelan asal juga, mereka akan dihantar pulang ke Malaysia oleh kerajaan.

"Madinatul Hijjaj yang dikendali oleh Tabung Haji memiliki kapasiti 2,000 orang pada satu-satu masa.

"Kami sudah mengenal pasti beberapa lokasi lain di sekitar Jeddah bagi menempatkan kesemua 11,419 pelajar dari Mesir," ujarnya pada taklimat media yang bakal berangkat ke Kaherah tengah hari ini.

Hidayat berkata, ibu bapa boleh menghubungi bilik operasi Madinatul Hijjaj di Jeddah di talian 009662-6301638/6326191 atau faks 6020891.

Kumpulan pertama pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir berjaya dibawa keluar dari Kaherah pada pukul 3 petang semalam waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) dan selamat tiba di sini.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 356 pelajar termasuk seorang bayi, berjaya dibawa keluar menerusi pesawat Boeing 747 milik Malaysia Airlines (MAS).

Selain menggunakan pesawat MAS, pemindahan pelajar turut dilakukan dengan kerjasama AirAsia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.

Sejak 26 Januari lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan. - Utusan

Sumber

0 comments: