Tuesday, February 15, 2011

Presiden YEMEN tangguh lawatan

SANAA 14 Feb. - Presiden Yemen yang berhadapan tekanan daripada penunjuk perasaan supaya meletakkan jawatan menangguhkan lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) selepas pembangkang bersetuju menyambung semula rundingan dengan kerajaan, semalam.

Menurut pejabat Presiden yang dipetik oleh agensi berita kerajaan, Saba, Presiden Ali Abdullah Saleh (gambar) memutuskan untuk menangguhkan lawatan ke AS yang dijadual pada hujung Februari ini ekoran perkembangan terbaru di rantau ini.

Bagaimanapun, kedua-dua negara itu akan menetapkan tarikh lawatan baru, tambah kenyataan itu.

Pembangkang Yemen bersetuju menyambung semula rundingan yang digantung sejak Oktober lalu dengan kerajaan selepas rejim pemerintah berhadapan dengan tekanan yang semakin meningkat daripada penunjuk perasaan bagi menuntut peletakan jawatan Ali Abdullah Saleh.

Common Forum, perikatan kumpulan pembangkang Parlimen, 'bersedia untuk menandatangani rangka perjanjian' pada minggu ini dalam usaha menyambung semula dialog kebangsaan, menurut kenyataan yang diterima oleh AFP itu.

Draf perjanjian itu meminta pembentukan kerajaan perpaduan dan mengadakan dialog berhubung penyokong pemisahan Pergerakan Selatan, pemberontakan Syiah di utara Yemen dan anggota pembangkang yang hidup dalam buangan.

"Rundingan akan disambung semula pada peringkat ia digantung pada 31 Oktober lalu," kata Common Forum yang dianggotai oleh al-Islam yang merupakan pembangkang Islam terbesar di Yemen, Parti Sosialis Yemen dan beberapa parti kecil lain.

Sementara itu, beribu-ribu pelajar dan peguam yang mendesak perletakan Ali Abdullah Saleh hari ini bertempur dengan polis anti-keganasan bersenjatakan belantan serta pasukan keselamatan yang menggunakan dawai berduri bagi memaksa kumpulan itu meninggalkan bahagian tengah ibu negara Yemen ini.

Seorang wartawan AFP berkata, lebih 3,000 penunjuk perasaan berarak dari Sanaa University menuju ke Dataran Al-Tahrir bagi mendesak pengunduran Presidennya.

Jalan-jalan di sekitar dataran itu bergema dengan laungan 'Selepas mubarak, Ali', merujuk kepada penyingkiran Presiden Mesir, Hosni Mubarak selepas tunjuk perasaan selama 18 hari yang dilancarkan oleh beribu-ribu penduduk Mesir di Dataran Tahrir. - AFP

Sumber

0 comments: