Tuesday, February 15, 2011

Protes kali kedua di ALGERIA

ALGIERS 14 Feb. – Pemimpin- pemimpin pembangkang Algeria yang dirangsang oleh kejayaan tunjuk perasaan di Tunisia dan Mesir mengumumkan akan menganjurkan perarakan protes kedua di Algiers Jumaat ini, tanpa mengendahkan pengharaman penganjuran demonstrasi di negara ini.

Koordinator Kebangsaan bagi Perubahan dan Demokrasi (CNCD), gabungan parti pembangkang, kumpulan hak asasi dan kesatuan tidak rasmi mengumumkan perarakan protes baru itu selepas pemimpin-pemimpin mereka mengadakan pertemuan, semalam.

Ia akan bermula di Dataran 1 Mei iaitu tempat di mana berlakunya tunjuk perasaan kelmarin, menurut Presiden Liga bagi Mempertahankan Hak Manusia (LADDH), Moustepha Bouchachi yang juga sebahagian daripada CNCD.

Sabtu lalu, hampir 30,000 polis menghalang perarakan protes yang disertai kira-kira 2,000 orang dari Dataran 1 Mei ke Dataran Syuhada sejauh empat kilometer.

Semalam, jurucakap CNDC, Khalil Moumene mengutuk apa yang disifatkannya sebagai tindakan kejam pasukan keselamatan dan penahanan aktivis pembangkang.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman menggesa supaya pihak berkuasa Algeria tidak bertindak keterlaluan, sehari selepas operasi keselamatan besar-besaran menghalang 2,000 penunjuk perasaan berhimpun di Algiers.

“Kami memandang serius tunjuk perasaan yang berlaku di Algeria dan menggesa pasukan keselamatan tidak bertindak keras,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Philip Crowley dalam satu kenyataan.

Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle pula memberitahu televisyen ARD mereka mengecam sebarang tindakan ganas ke atas penunjuk perasaan yang hanya mahukan kebebasan dan menuntut hak mereka.

CNCD mahu rejim Presiden Abdelaziz Bouteflika meletak jawatan dengan segera ekoran meningkatnya kadar pengangguran dan peningkatan kos hidup, alasan sama yang dibawa di Tunisia dan Mesir. – AFP

Sumber

0 comments: