Wednesday, February 2, 2011

Tentera MESIR jamin tidak lepaskan tembakan

KAHERAH 1 Feb. - Pasukan tentera Mesir memberi jaminan tidak akan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membantah secara aman, ketika orang ramai meneruskan kempen bantahan untuk menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak hari ini.

Pihak berkuasa tentera yang dilihat mahu mengekalkan sistem ketenteraannya yang berusia 60 tahun berbanding kepimpinan Presiden, malam tadi mengeluarkan satu kenyataan menyifatkan tuntutan penunjuk perasaan sebagai 'sah' dan berjanji tidak akan menggunakan kekerasan ke atas mereka.

Langkah pasukan tentera yang membantu Mubarak memerintah pada 1981, dilihat seolah-olah sedang menimbang untuk mengubah kesetiaannya daripada kerajaan serta membenarkan bantahan terus dijalankan penunjuk perasaan.

"Pasukan tentera tidak akan menggunakan kekerasan sebagai jalan terakhir terhadap rakyat.

"Pihak tentera yang sedar dengan kemahuan rakyat akan terus menjalankan tanggungjawab melindungi negara dan rakyat serta menegaskan kebebasan bersuara secara aman adalah hak semua individu," menurut tentera dalam kenyataan rasmi pertamanya semalam.

Pasukan tentera bersama kereta kebal dikerahkan berkawal di jalan-jalan sejak Jumaat lalu apabila polis bertempur dengan penunjuk perasaan.

Tidak seperti polis, anggota tentera dilihat lebih sabar dengan membiarkan penunjuk perasaan menyatakan kemarahan mereka terhadap pemerintahan diktator Mubarak dan kemiskinan negara.

Sehingga malam tadi, kira-kira 140 orang dilaporkan maut sepanjang demonstrasi berlangsung di seluruh negara.

Mubarak malam tadi turut mengumumkan pelantikan Kabinet baru yang menyaksikan sebahagian besar menteri-menterinya tidak berubah.

Tindakan Presiden untuk meredakan kemarahan ramai juga tidak berkesan selepas penunjuk perasaan terus menolak pembaharuan demi pembaharuan yang dilaksanakan beliau.

"Tuntutan kami jelas. Kami mahu Mubarak dan orang-orangnya berundur. Sebarang pendekatan selain perkara itu tidak akan memberi kesan," kata penunjuk perasaan, Omar el-Demerdash. - Reuters

Sumber

0 comments: