![]() |
| Penunjuk perasaan antikerajaan terus berhimpun di Dataran Tahrir dengan sebahagian daripada mereka menari di Kaherah, semalam. - AP |
KAHERAH 5 Feb. - Tunjuk perasaan mendesak Presiden, Hosni Mubarak meletak jawatan diteruskan hari ini, masuk hari ke-12, tanpa sebarang tanda ia akan berakhir, sehinggalah pemimpin berusia 82 tahun itu berundur.
Penunjuk perasaan terus berhimpun di bandar-bandar besar seperti Iskandariah, Ismailia dan Port Said bagi mendesak Presiden Mesir itu meletakkan jawatan setelah memerintah Mesir selama 30 tahun.
Naib Presiden, Omar Suleiman dijangka bertemu sekumpulan orang penting hari ini bagi meneliti satu penyelesaian yang akan menyaksikan dirinya dilantik sebagai Presiden untuk mengetuai kerajaan peralihan, kata salah seorang anggota kumpulan itu.
Bagaimanapun, penunjuk perasaan menegaskan mereka mahu sekutu Mubarak turut disingkirkan dan bukan Mubarak sahaja, kerana ia tidak memadai untuk menamatkan krisis tersebut.
Mubarak kelmarin berkata, Mesir akan menjadi huru-hara jika beliau meletakkan jawatan sekarang dan berjanji berbuat demikian pada September ini, apabila tempoh pentadbirannya berakhir.
Beratus ribu rakyat Mesir mengadakan demonstrasi di seluruh negara sejak 25 Januari lalu dengan Dataran Tahrir di sini menjadi pusat demonstrasi bagi mendesak peletakan jawatan Mubarak.
Para penunjuk perasaan menyatakan mereka tidak akan berhenti, selagi Mubarak tidak berundur. - Reuters

0 comments:
Post a Comment