![]() |
| Penyokong kerajaan bertempur dengan penunjuk perasaan antikerajaan di Sanaa, Yemen, kelmarin. –Agensi |
SANAA 15 Feb. – Kira-kira 3,000 orang mengadakan protes di Yemen untuk hari kelima berturut-turut hari ini bagi menuntut pembaharuan politik dan peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh.
Sepasukan kecil polis cuba menyuraikan penunjuk perasaan dengan gas pemedih mata dan belantan tetapi mereka meneruskan perarakan dari Universiti Sanaa menuju ke pusat bandar.
Penunjuk perasaan yang kebanyakannya pelajar universiti, peguam dan aktivis hak asasi itu melaungkan slogan mengutuk Saleh dan ‘samseng-samseng presiden’ itu.
“Rakyat mahu menggulingkan rejim,” laung mereka yang mengulangi slogan penunjuk perasaan di Mesir.
Ramai anggota polis dan kira-kira 2,000 penyokong kerajaan menantikan penunjuk perasaan tersebut di pusat bandar Sanaa.
Demonstrasi itu dijangka bertambah besar apabila ratusan lagi pelajar dan aktivis menyertai perarakan di ibu kota ini.
Semalam, batu dilontar dan belantan diayunkan di tengah Sanaa apabila penunjuk perasaan bertempur dengan polis dan penyokong Saleh.
Pertempuran antara polis dengan beribu-ribu penunjuk perasaan juga tercetus di bandar Taez, selatan Sanaa semalam, menyebabkan lapan orang cedera. – AFP

0 comments:
Post a Comment