SANAA 13 Feb. - Penunjuk perasaan antikerajaan bertempur dengan polis dalam tunjuk perasaan yang masuk hari ketiga, apabila polis bertindak menghalang mereka berarak ke Istana Presiden di Sanaa, hari ini.
Empat cedera termasuk seorang wanita, apabila penunjuk perasaan bertindak balas membaling batu ke arah polis, manakala 10 penunjuk perasaan ditahan, kata saksi.
Kira-kira 2,000 penunjuk perasaan sebahagian besarnya mahasiswa berarak menuju Dataran Universiti Al-Sabiine terletak berhampiran Istana Presiden, melaungkan slogan-slogan mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan.
Kejadian itu berlaku, tidak lama selepas pembangkang bersetuju mengadakan perundingan dengan Presiden Ali Abdullah Saleh, yang kini sedang berusaha untuk mengelak pemberontakan ala-Mesir merebak di negara ini.
Di selatan kota Taez, polis menggunakan cota bagi meleraikan beratus-ratus penunjuk perasaan, semalam dan 120 orang ditahan.
"Penduduk Yemen mahu menumbangkan rejim sedia ada," jerit penunjuk perasaan semasa mengadakan demonstrasi di Sanaa, sebelum berpuluh-puluh yang lain mula berarak menujuk ke Istana Presiden.
Tunjuk perasaan antikerajaan di Yemen terus meningkatkan momentumnya sejak ia mula tercetus awal bulan ini setelah mendapat inspirasi daripada tunjuk perasaan di Tunisia dan Mesir dengan berpuluh-puluh ribu penduduk menyertai tunjuk perasaan sempena "Hari Kemarahan" anjuran pembangkang bagi menuntut perubahan kerajaan.
Sejak beberapa hari lalu, pertempuran mula tercetus antara penyokong kerajaan dan kumpulan antikerajaan.
Saleh, yang telah berkuasa lebih tiga dekad dan bimbang dengan pergolakan di beberapa negara Arab, telah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan pada 2013 dan menyatakan bahawa anak lelakinya tidak akan mengambil alih kerajaan. Beliau juga mempelawa pembangkang untuk berunding.
"Pembangkang tidak menolak pelawaan Presiden untuk berunding dan bersedia untuk menandatangani perjanjian dalam tempoh seminggu," kata bekas Menteri Luar, Mohammed Basindwa, yang kini merupakan seorang ahli politik pembangkang, sambil menambah kata, rundingan akan disertai pemerhati dari negara Teluk dan Barat.
Pembangkang Yemen mahu jaminan daripada kerajaan untuk melaksanakan perubahan dan menuntut supaya taraf hidup 40 peratus rakyat Yemen yang tinggal dalam kemiskinan dengan pendapatan kurang AS$2 sehari ditingkatkan, dengan satu pertiga daripada mereka hidup melarat. - Reuters
0 comments:
Post a Comment