RAS LANUF: Washington berkata gesaan Liga Arab supaya Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan Libya sebagai zon larangan terbang adalah langkah penting ekoran tentera kerajaan negara itu bertindak menggunakan kereta perisai dan pesawat bagi mengusir kumpulan pemberontak di wilayah yang dikuasai mereka.
Setiausaha Liga Arab, Amr Moussa berkata, dalam mesyuarat di Kaherah kelmarin, liga itu memutuskan jenayah serius dan pelanggaran hak asasi manusia dilakukan kerajaan pimpinan Muammar Gaddafi terhadap rakyatnya melucutkan kewibawaan kepemimpinannya. Amr yang membuat kenyatan dalam sidang akhbar selepas pertemuan di Kaherah itu berkata: “Liga Arab secara rasmi memohon Majlis Keselamatan PBB supaya mengenakan zon larangan terbang ke atas Libya bagi mengelak sebarang tindakan ketenteraan diambil terhadap rakyatnya.”
Washington yang akan memainkan peranan utama dalam menguatkuasakan zon larangan terbang berkata, keputusan itu meningkatkan lagi tekanan ke atas Gaddafi. Ia bagaimanapun tidak mencadangkan tindakan ketenteraan atau saranan mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan PBB.
“Masyarakat antarabangsa sepakat dalam mengetengahkan mesej supaya keganasan di Libya dihentikan dan rejim pimpinan Gaddafi perlu dipersalahkan,” kata sumber Rumah Putih. Tidak dapat dipastikan sama ada gesaan Liga Arab itu berupa sokongan yang diperlukan NATO untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Gaddafi. - AFP
0 comments:
Post a Comment