Thursday, March 17, 2011

BAHRAIN: Tiga lagi terbunuh

MANAMA: Polis Bahrain membunuh tiga penunjuk perasaan dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain ketika mereka menyerang kem penunjuk perasaan di Dataran Pearl, kata sumber parti pembangkang, semalam.

“Kami kini mempunyai tiga pejuang syahid,” ujar Timbalan Ketua Pergerakan al-Wefaq yang juga anggota Parlimen, Khalil Marzouk. Pasukan keselamatan yang dilengkapi kereta kebal dan helikopter menyerang kem penunjuk perasaan prodemokrasi selepas Subuh, sehari selepas Raja Hamad mengisytiharkan darurat dengan memberi kuasa penuh kepada pihak tentera bagi menangani pergolakan di negara Teluk itu. Khalil berkata, polis turut menutup laluan ke hospital di Manama.


“Laluan ke kebanyakan hospital swasta dan awam ditutup. Pihak berkuasa juga mengepung kawasan di sekitar hospital berkenaan,” tambahnya.

Kawasan kediaman pemerintah juga dikawal dan disekat daripada mempunyai hubungan dengan desa dihuni penduduk Syiah di sekeliling bandar raya ini, di mana kebanyakan penunjuk perasaan menuntut pembaharuan demokrasi.


“Kebanyakan desa di sekitar Manama dikepung,” katanya.


Seorang lagi ahli Parlimen pembangkang, Ali al-Aswad berkata, terdapat pertempuran di sesetengah desa yang dikepung tetapi tidak diketahui jika ada orang yang terkorban atau cedera.

Talian telefon ke desa berkenaan juga dipotong.


Menurut sumber pihak perubatan, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera malam kelmarin dalam pertempuran di Manama. - AFP

Sumber

0 comments: