Wednesday, March 30, 2011

Barat mahu LIBYA pecah dua

ROM 29 Mac - Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Kaim menuduh Tentera Bersekutu yang melancarkan serangan ke atas Libya bertujuan untuk memecahkan negara itu kepada dua bahagian.

Kaim membuat kenyataan itu dalam wawancara yang disiarkan di televisyen Itali, malam tadi ketika tentera bersekutu meneruskan serangan udara ke atas beberapa sasaran di Libya, termasuk tiga kapal tentera laut rejim Muammar Gaddafi yang dibedil oleh tentera AS.

"Taktik tentera bersekutu adalah untuk mewujudkan kebuntuan supaya negara kami berpecah dua, bermakna perang saudara akan berlaku secara berterusan dan mencetuskan situasi sangat berbahaya seperti di Somalia," katanya kepada stesen televisyen Rai Uno.

Beliau mendakwa pemberontak terus menyerang angkatan bersenjata Libya.

"Jika kami diheret ke dalam perang saudara, resolusi 1973 (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) yang bertujuan melindungi orang awam, sebaliknya akan membawa kepada pembunuhan penduduk awam," katanya.

Di Tripoli, Gaddafi menggesa dihentikan 'serangan kejam' ke atas Libya, dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada kuasa-kuasa antarabangsa yang bermesyuarat di London, hari ini untuk membincangkan masa depan negaranya.

Dalam surat itu, Gaddafi menyamakan serangan udara yang diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dengan kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler semasa Perang Dunia Kedua.

Kempen tersebut dilancarkan lebih seminggu lalu oleh Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya dan melindungi penduduk awam daripada diserang oleh tentera Gaddafi.

Lebih 35 negara termasuk tujuh negara Arab bermesyuarat di London, hari ini untuk merancang masa depan Libya tanpa Gaddafi, sementara pemberontak yang dibantu oleh serangan udara itu meneruskan kemaraan mereka.

Britain, Perancis, Jerman dan AS bersetuju, rundingan di London seharusnya membantu 'peralihan politik di Libya', menurut satu kenyataan Perancis. - AFP/Reuters

Sumber

0 comments: