Sunday, March 13, 2011

JEPUN minta bantuan PBB

GENEVA 12 Mac - Jepun meminta pasukan mencari dan penyelamat asing untuk membantu mencari mangsa gempa bumi besar dan tsunami yang melanda negara matahari terbit itu semalam.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), lebih 68 pasukan penyelamat dari 45 negara telah menawarkan bantuan mereka.

"Jepun telah meminta bantuan pasukan mencari dan penyelamat antarabangsa," kata jurucakap Penyelarasan Hal-Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB, Elisabeth Byrs di Geneva.

Menurut beliau, sekurang-kurangnya empat pasukan telah diminta iaitu dari Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Permintaan Jepun itu telah dibuat sebelum gempa sekuat 5.8 skala Richter melanda barat laut Jepun awal pagi Sabtu lalu.

Menurut agensi berita Jiji, Presiden AS, Barack Obama berkata kepada Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam, pihaknya akan menyalurkan bantuan "tidak kira dengan apa cara sekalipun".

"AS sudah bersedia untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk Jepun di mana ketika ini mereka sedang dilanda ujian yang sangat besar... jalinan persahabatan di antara kedua-dua negara ini begitu kuat, dan hanya menguatkan tekad kita untuk berdiri bersama rakyat Jepun ketika mereka menghadapi tragedi besar ini," kata Obama dalam satu kenyataan.

Pasukan Tentera Udara AS menerbangkan pendingin bagi menggantikan pendingin loji nuklear Fukushima yang mengalami kerosakan, kata Setiausaha Negara, Hillary Clinton.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso dan Presiden Majlis Eropah, Herman Van Rompuy juga turut menyuarakan perpaduan mereka.

Pasukan kecemasan Rusia ERMACOM menawarkan 40 anggota termasuk tiga ekor anjing pengesan, sementara itu Malaysia juga telah mempersiapkan pasukan pertahanan awamnya dan Poland turut menawarkan pasukan bombanya. - Reuters

Sumber

0 comments: