Wednesday, March 9, 2011

LIBYA: Gaddafi ditawarkan pengampunan



TENTERA penentang Gaddafi mencari perlindungan semasa serangan udara dilancarkan ke atas kedudukan mereka di bandar Ras Lanuf, timur Libya, semalam. - REUTERS


HAMBURG 8 Mac - Seorang pemimpin pemberontak Libya, Mustafa Abdel Jalil menawarkan pengampunan kepada Muammar Gaddafi jika pemimpin veteran itu bersedia untuk meninggalkan Libya.

Abdel Jalil, bekas Menteri Kehakiman yang kini mempengerusikan pentadbiran pemberontak dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Libya, membuat kenyataan yang disiarkan semalam di laman web majalah mingguan Jerman, Stern.

Beliau mengesahkan rejim Gaddafi ada menghubungi kem pemberontak, tetapi berkata beliau sendiri tidak berhubung dengan pemimpin Libya itu dan tiada rundingan yang dijalankan.

Majlis tersebut yang terdiri daripada wakil dari bandar-bandar yang dikuasai pemberontak di timur Libya menentang campur tangan tentera asing tetapi mahu bantuan untuk menyekat serangan tentera udara Gaddafi.

"Kami merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menguatkuasakan zon larangan terbang dengan secepat mungkin.

"Tentera udara mesti dihalang daripada mengebom kami," kata Abdel Jalil.

Beliau juga menafikan laporan televisyen Tripoli yang mendakwa pemberontak menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia.

"Rakyat berjuang di pihak kami kerana mereka mahukan revolusi dan sesiapa yang tidak mahu berperang, tidak perlu berperang, kerana kami tidak pernah memaksa mereka," katanya. - dpa

Sumber

0 comments: