Tuesday, March 29, 2011

SYRIA terus bergolak

DAMSYIK: Pasukan keselamatan Syria semalam melepaskan tembakan gas pemedih mata di sebuah bandar pedalaman di selatan negara itu ketika Presiden Bashar Assad berdepan dengan kekacauan paling serius sejak memerintah 11 tahun lalu.

Bashar dijadualkan berucap menerusi televisyen ke seluruh negara hari ini dalam usaha untuk mengendurkan krisis yang dihadapi negara itu dengan bersedia menarik balik perintah darurat dan bertindak membatalkan larangan terhadap kebebasan awam dan politik.


Negara itu dilanda kekacauan sejak lebih seminggu lalu yang bermula di Daraa, kawasan pertanian yang berdepan dengan kemarau.

Kekacauan kemudian meletus di seluruh negara Jumaat lalu hingga memaksa pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di enam lokasi.


Angka kematian sejak 18 Mac lalu meningkat 61 orang, menurut laporan badan hak asasi manusia, Human Rights Watch.


Saksi di Daraa semalam berkata, lebih 4,000 orang menunjuk perasaan semalam, menggesa kerajaan mewujudkan kebebasan untuk berpolitik.

Saksi itu yang enggan dikenali berkata, pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan dan peluru ke udara untuk menyuraikan mereka.


Sementara itu, di Latakia, bandar pelabuhan utama negara itu, kumpulan bersenjata dikatakan meronda jalan raya dan mengancam untuk meningkatkan keganasan

Keadaan itu memaksa penduduk mengadakan kawalan untuk melindungi kawasan kediaman mereka.


Beberapa penduduk mendakwa kumpulan bersenjata terbabit adalah tali barut kerajaan. Bandar yang mempunyai 450,000 penduduk itu dilanda leganasan sejak Jumaat lalu menyebabkan 15 orang terbunuh, termasuk empat orang awam yang ditembak mati oleh penembak curi, kelmarin. Dua anggota keselamatan juga terbunuh dan 70 yang lain cedera dalam keganasan di bandar yang terletak kira-kira 350 kilometer ke barat daya Damsyik itu.


Seorang penduduk berkata, tentera kelihatan mengawal sekitar pusat bandar itu, termasuk bangunan penting, semalam. - Agensi

Sumber

0 comments: