Musibah bawa rahmat di Aceh
![]() |
| Muzium Tsunami yang menyimpan pelbagai catatan mengenai malapetaka alam di Aceh pada 2004. |
"DAMAI Itu Indah." Itulah ungkapan yang boleh dilihat pada kain rentang di setiap persimpangan jalan di Banda Aceh.
Ungkapan itu seolah-olah pemberi semangat kepada penduduk wilayah itu untuk melupakan malapetaka alam yang berlaku pada pagi 26 Disember 2004.
Malapetaka bernama tsunami yang melanda Aceh mengorbankan ratusan ribu jiwa. Sampai hari ini ia menjadi satu trauma yang sukar dilupakan terutama bagi mereka yang kehilangan anggota keluarga yang dikasihi.
Kejadian itu bermula dengan gempa bumi berukuran 9.15 Skala Ritcher yang akhirnya mengakibatkan ombak kuat melebihi ketinggian pokok kelapa dengan kelajuan melebihi 400 kilometer sejam yang menghasilkan tsunami - dianggap paling dahsyat dan menggerunkan pada kurun ini.
Selain nyawa melayang, mata pencarian juga musnah. Kehidupan penduduk terbabit teruk terjejas.
Jika berkunjung ke Acheh pada hari kesan tsunami pada 2004 itu masih kelihatan.
Ia seolah-olah memberi peringatan bukan sahaja kepada penduduk Acheh, tetapi kepada mereka yang berkunjung ke sana bahawa apabila alam bertindak tiada siapa yang mampu menahan.
Bayangkan betapa besar kuasa tsunami apabila kapal penjana bekalan elektrik seberat 2,600 tan mampu diangkat ke daratan sejauh lebih enam kilometer dari pantai.
Sepanjang pergerakan itu ia turut memusnahkan ratusan rumah penduduk dalam kejadian tidak sampai 10 minit yang turut mengorbankan sebahagian besar penghuninya.
Seorang wartawan akhbar Harian Analisa, War Djmail memberitahu beliau sendiri kehilangan lebih 23 orang anggota keluarga dalam kejadian itu.
Katanya: "Banda Aceh pada waktu itu boleh dianggap seolah-olah telah terkena bom Atom yang 2,000 kali lebih kuat dibandingkan dengan ledakan di Hiroshima semasa perang dunia kedua, segala-galanya musnah dalam sekelip mata.
"Sehingga kini masih ada penduduk yang merasa trauma bermimpi ngeri gelombang besar akan melanda yang akan menghapuskan semua orang, mujurlah ingauan itu tidak berpanjangan."
Kini setelah tujuh tahun, keperitan dan kesengsaraan akibat peristiwa yang cukup dahsyat itu mungkin telah berkurangan.
Kesedihan akibat kehilangan orang tersayang juga telah reda. Kehidupan baru ditempuh dengan tekun dan tabah.
Sejak kemusnahan pada 2004, Aceh dibina semula. Perubahan dan projek bangunan baru jelas kelihatan.
Antara lain ia hasil bantuan yang mengalir masuk ke Aceh. Projek pembangunan tersebut mula menutup kesan gempa bumi dan tsunami yang berlaku tujuh tahun lalu.
Pasukan bantuan daripada negara-negara sahabat terlibat membina rumah yang lebih kemas.
Walaupun lebih kecil berbanding rumah asal namun ia dapat menampung keperluan penduduk di wilayah itu.
Bagi sebahagian berkemampuan ada juga yang menyewa di tempat lain.
Begitu juga dalam soal pembangunan, kebanyakan penempatan dibina tidak mengikut perstrukturan yang lebih kemas dan tersusun berbanding dengan keadaan sebelum tsunami.
Dirasakan, pihak berkuasa di Aceh sepatutnya mengambil kesempatan ini untuk membuat penstrukturan semula pembangunan di wilayah itu bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampu memberi peluang kehidupan yang lebih baik selepas bencana tersebut.
Walaupun bencana itu meninggalkan kesan yang berpanjangan kepada penduduknya, namun dengan peluang ekonomi yang lebih baik mampu membantu mereka melupakan kesengsaraan.
Sebaliknya ia membuka lembaran hidup yang lebih baik pada masa akan datang.
Bagi mengingati peristiwa itu pihak berkuasa di Aceh telah membina Muzium Tsunami di Ulee Lheu, Banda Aceh. Ia bertujuan memberi maklumat dan pengetahuan tentang tsunami dan tempat-tempat yang telah musnah sebagai tarikan kepada pelancong.
Muzium Tsunami itu memaparkan maklumat mengenai kekayaan budaya Aceh, fenomena alam berkaitan gempa bumi dan tsunami dalam bentuk gambar, monitoring 'live' gempa bumi dan filem.
Selain itu, tempat-tempat menarik lain yang perlu dilawati bagi melihat kesan bencana itu ialah Masjid Raya Baitu Rahman terletak di pusat bandar yang menjadi kebanggaan masyarakat Aceh. Masjid itu menjadi simbol keberanian dan nasionalisme rakyat Aceh.
Dibina pada zaman Sultan Iskandar Muda (1607-1636) merupakan pusat pendidikan ilmu agama di nusantara dan ia juga pernah dijadikan markas pertahanan rakyat ketika berperang mengusir Belanda (1873-1904).
Masjid berkenaan merupakan salah satu masjid yang terindah di Indonesia, memiliki tujuh kubah, empat menara dan satu menara induk sementara ruang dalam berlantai mamar buatan Itali dengan keluasan 4,760 meter persegi bagi menampung lebih 9,000 orang jemaah.
Sementara Masjid Baitu Rahim di Ulee Lheu memperlihatkan banyak rumah-rumah penduduk disekitarnya hilang dibawa arus tsunami kecuali bangunan masjid ini.
Banda Aceh merupakan kota tertua berusia lebih lapan abad didirikan oleh Sultan Johan Syah pada 1 Ramadhan 601 H (22 April 1205 M). Ia menjadi ibu kota Kerajaan Aceh Darussalam - kota islam tertua di Asia Tenggara.
Bagi mereka yang berminat untuk melihat panaorama menarik dan suasana kampong yang indah, dicadangkan menggunakan perjalanan darat dari Medan ke Aceh.
Terdapat dua laluan yang boleh dilalui pertama melalui sebelah Pantai Selat Mentawai akan menempuh bandar Meulaboh, Johan Pahlawan, Kawai, Teunom, Panga dan Kuala 1 akan memakan masa pemanduan hampir 14 jam bagi jarak 778 kilometer.
Sementara sebelah pantai Selat Melaka dari Medan ke Aceh sejauh 604 Kilometer memakan masa pemanduan selama 12 jam akan melalui bandar-bandar seperti, Tanjung Pura, Kota Kuala Simpang, Langsa, Lhoksumauwe dan Sigli.
Sepanjang perjalanan, banyak pemandangan menarik dapat dilihat dan banyak masjid-masjid baru telah dan sedang dibina oleh penduduk kampung dengan dananya dikutip daripada pemandu-pemandu kenderaan yang melalui di hadapan kampung mereka.
Ada antara masjid-masjid yang dibina ini terlalu hampir antara satu sama lain.
Ia kelihatan seolah-olah seperti satu pertandingan bagi setiap kampung siapa dulu yang dapat membina masjid.
Di samping itu, pada tahun ini pihak berkuasa Banda Aceh telah melancarkan kempen Tahun Melawat Aceh 2011 bagi mengalakkan kunjungan pelancong datang melawat wilayah itu.
Tetapi amat malang sepanjang empat hari penulis berada di sana maklumat dan risalah mengenai acara-acara yang akan diadakan bagi sepanjang tahun ini langsung tidak kelihatanSumber

1 comments:
Teringin lagi nak menjejakkan kaki di Aceh.
Post a Comment