TOKYO 7 April - Jepun hari ini dilanda gempa bumi kuat sekali lagi berukuran 7.4 skala Richter di perairan timur laut negara ini.
Dilaporkan gempa itu berlaku di tempat sama semasa gempa pada 11 Mac lalu berukuran 9 pada skala Richter.
Agensi Meteorologi Jepun turut mengeluarkan amaran tsunami dengan ombak setinggi lebih satu meter dijangka melanda kawasan pantai.
Menurut pegawai, pusat gempa terletak 40 kilometer di bawah laut di luar perairan Miyagi pada pukul 11.32 malam waktu tempatan (10.32 malam waktu Malaysia).
Bangunan sejauh di Tokyo dilaporkan turut bergegar selama beberapa minit.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dalam laporan awal turut melaporkan gempa berukuran 7.4 magnitud melanda luar pantai timur Jepun, 100 kilometer dari Sendai dan 140 kilometer dari Fukushima.
Beratus-ratus gempa susulan melanda wilayah timur laut Jepun sejak 11 Mac lalu, tetapi hanya sedikit yang mempunyai kekuatan melebihi 7 skala Richter.
Gempa itu berlaku polis Jepunbertungkus-lumus mencari beribu-ribu mayat yang hilang semasa kejadian tsunami sebelum mayat-mayat itu mereput di sekitar kawasan perairan yang ditutup ekoran kebocoran radiasi di loji tenaga nuklear Fukushima.
Selepas hampir sebulan gempa kuat yang mengakibatkan tsunami melanda timur laut Jepun, lebih 14,700 orang dilapor masih hilang dengan kebanyakan mereka dihanyutkan ke laut.
Beberapa hari selepas bencana pada 11 Mac itu, para penyelamat berusaha keras mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan, namun kebocoran radiaso dari kompleks nuklear Fukushima Daiichi telah melambatkan usaha berkenaan.
Para pegawai berkata, masa sudah suntuk untuk mencari dan mengenal pasti mereka yang terbunuh dalam kejadian itu dan kini sedang meningkatkan usaha mencari mayat-mayat berkenaan.
''Kita perlu menemui mayat itu sekarang kerana mereka sedang mereput. Ia adalah perlumbaan antara masa dan ancaman radiasi nuklear,'' kata jurucakap polis wilayah Fukushima, Ryoichi Tsunoda.
Setakat ini 12,500 telah disahkan maut dalam bencana tersebut.
Dalam perkembangan terbaru di loji tenaga nuklear itu, kebocoran radiasi semakin menurun.
Selepas berjaya menampal keretakan yang mengakibatkan kebocoran itu semalam, juruteknik hari ini mula mengepam nitrogen ke dalam kebuk reaktor bagi mengurangkan risiko letupan hidrogen. - AGENSI
0 comments:
Post a Comment