Tuesday, April 5, 2011

LIBYA: 2 anak Gaddafi cadang peralihan

WASHINGTON 4 April - Dua anak lelaki Muammar Gaddafi mengemukakan cadangan pelan peralihan kepada sistem demokrasi berperlembagaan yang melibatkan penyingkiran bapa mereka.

Peralihan itu akan diketuai oleh seorang anak lelaki Gaddafi, Seif al-Islam (gambar), lapor akhbar New York Times (NYT) malam tadi, dengan memetik kenyataan seorang diplomat tidak dikenali dan seorang pegawai Libya yang dimaklumkan mengenai pelan tersebut.

Belum jelas sama ada Gaddafi, 68, bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Seif al-Islam dan seorang lagi anak lelakinya, Saadi el-Gaddafi, menurut laporan itu.

Namun, seorang yang rapat dengan kedua-dua anak Gaddafi itu berkata, Gaddafi nampak bersedia untuk mengikut cadangan itu.

"Kedua-dua anak Gaddafi itu mahu melangkah ke arah perubahan di negara mereka tanpa bapa mereka.

"Mereka telah menghadapi banyak tentangan daripada angkatan lama rejim, dan sekiranya mereka mendapat lampu hijau, mereka akan memajukan negara dengan pesat," lapor NYT dengan memetik sumber yang rapat dengan kem Seif dan Saadi.

Bagaimanapun pentadbiran pemberontak di Benghazi, Majlis Peralihan Kebangsaan menolak pelan tersebut bulat-bulat.

"Cadangan itu ditolak sama sekali oleh Majlis, kerana Gaddafi dan anak-anaknya mesti berundur sebelum rundingan diplomatik boleh diadakan," kata jurucakap Majlis, Shamseddin Abdulmelah di Benghazi.

NYT menganggap cadangan tersebut mencerminkan perbalahan yang sudah lama berlaku di kalangan anak-anak lelaki Gaddafi.

Seif dan Saadi lebih cenderung kepada pembaharuan ekonomi dan politik ala Barat, tetapi dua lagi saudara mereka, Khamis dan Mutuassim dianggap penyokong setia rejim yang berpendirian keras.

Khamis mengetuai sebuah militia prokerajaan, manakala Mutuassim, seorang penasihat keselamatan negara, dilihat bersaing dengan Seif dalam perebutan untuk menggantikan bapa mereka.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) semalam bersetuju dengan permintaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) supaya penyertaan AS dalam serangan udara ke atas tentera rejim Gaddafi dilanjutkan 48 jam lagi.

AS sudah menyerahkan kuasa pemerintahan ke atas operasi tentera di Libya kepada Britain, Perancis dan sekutu lain dalam NATO, tetapi kekuatan tentera udara AS masih diperlukan. - AFP/AP

Sumber

0 comments: