Monday, April 11, 2011

LIBYA: 2 helikopter ditembak jatuh

TRIPOLI: Tentera Libya menembak jatuh dua helikopter buatan Amerika Syarikat yang digunakan oleh tentera pemberontak di timur negara itu, semalam.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Luar, Khaled Kaim mengecam masyarakat antarabangsa kerana membenarkan tentera pemberontak mengendalikan pesawat meskipun zon larangan terbang dikuatkuasakan di ruang angkasa negara itu, selari dengan ketetapan 1973 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Menurutnya, pemberontak menggunakan dua helikopter Chinook dan ia ditembak jatuh berhampiran Brega, bandar utama minyak.

Kumpulan penentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan laporan berkenaan.


Bagaimanapun, wartawan di kawasan berkenaan mengaku melihat sekurang-kurangnya satu helikopter digunakan untuk membantu kumpulan berkenaan, Sementara itu, Nato yang meneruskan serangan udara terhadap tentera yang setia kepada Gaddafi mendakwa berjaya memusnahkan 29 kereta kebal dan merosakkan sembilan yang lain, semalam. Sementara itu, pertempuran sengit dilapor berlaku di Ajdabiyah, bandar strategik di timur Libya.


Seorang saksi berkata, bunyi tembakan dan letupan kedengaran di timur bandar berkenaan sementara kepulan asap hitam juga kelihatan, membayangkan tentera Gaddafi sudah mara ke pusat bandar. “Berlaku pertempuran dalam bandar,” kata seorang pemberontak yang berpangkalan di pinggir bandar itu.

Kejayaan tentera Gaddafi menawan Ajdabiya akan membolehkannya melancarkan serangan terhadap kubu kuat pemberontak, Benghazi, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari bandar itu.


Tentera Gaddafi sedang mara ke Benghazi tetapi terpaksa berundur apabila Amerika Syarikat dan sekutunya melancarkan serangan udara. - Agensi

Sumber

0 comments: