Tuesday, April 26, 2011

LIBYA: Pejabat Gaddafi musnah dibom



ORANG ramai berdiri di hadapan bangunan Bab Al-Aziziya milik Muammar Gaddafi yang musnah dalam serangan tentera udara NATO di Tripoli, Libya semalam. Pihak berkuasa Libya menyifatkan serangan itu sebagai cubaan NATO untuk membunuh pemimpin Libya tersebut.


TRIPOLI 25 April – Serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memusnahkan pejabat pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di kediaman rasminya di Tripoli hari ini, sementara pemberontak terus mara di bandar Misrata yang dikuasai tentera kerajaan.

Letupan kuat menggegarkan bahagian tengah Tripoli tidak lama selepas tengah malam ketika pesawat pejuang NATO merentasi ibu negara Libya ini.

Seorang pegawai Libya yang mengiringi wartawan di perkarangan kediaman Gaddafi berkata, seramai 45 orang cedera termasuk 15 cedera parah dalam serangan itu, sambil menambah kata, beliau tidak pasti sama ada terdapat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan akibat serangan tersebut.

“Ia merupakan cubaan membunuh Kolonel Gaddafi,” tegasnya.

Anak lelaki Gaddafi, Seif Al-Islam menyifatkan pengeboman itu sebagai satu tindakan pengecut.

“Serangan pengecut ke atas pejabat Muammar Gaddafi mungkin menakutkan atau menyebabkan kanak-kanak menjadi gentar tetapi kami tidak akan meninggalkan medan perang dan kami tidak takut,” ujarnya.

Pesawat pejuang NATO Jumaat lalu telah menjadikan daerah Bab Al-Aziziya sebagai sasaran, yang menempatkan kawasan kediaman Presiden.

Pada kira-kira pukul 3 pagi (9 pagi waktu Malaysia), kepulan asap kelihatan dari atas beberapa buah bangunan yang terkena serangan.

Sebuah bilik mesyuarat mengadap pejabat Gaddafi musnah teruk akibat serangan itu.

Di Misrata, 251 kilometer ke timur Tripoli, pemberontak Libya menguasai sebatang jalan utama di bandar itu, yang kini dihujani dengan serangan roket dan tembakan senapang sejak 50 hari lalu.

Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Kaim berkata, tentera kerajaan telah menggantung operasi terhadap pemberontak di Misrata, tetapi masih mengawal bandar itu bagi membolehkan kabilah tempatan menyelesaikan pertempuran secara aman dan bukan melalui ketenteraan.

Namun, jurucakap pemberontak, Kolonel Omar Bani daripada Majlis Peralihan Kebangsaan (TNC) berkata, Gaddafi menggunakan taktik kotor bagi memecah-belahkan pemberontak.

Bandar itu mengalami korban tertinggi dalam tempoh 65 hari bertempur pada Sabtu lalu, apabila 28 orang terbunuh dan 100 cedera berbanding purata 11 terbunuh setiap hari, demikian menurut seorang doktor, Khalid Abu Falra dari sebuah klinik swasta utama di Misrata.

Sebuah kapal bantuan menghantar 160 tan makanan dan ubat-ubatan ke Misrata pada Sabtu lalu dan memindahkan kira-kira 1,000 pekerja asing dan penduduk yang cedera ke Benghazi.

Bantuan itu yang merupakan yang keempat berjaya memindahkan 4,100 orang pekerja asing dari 21 negara yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Antarabangsa bagi Pemindahan dari Misrata sejak program kemanusiaan dilancarkan pada 14 April lalu. – AFP

Sumber

0 comments: