Saturday, April 30, 2011

MESIR buka sempadan PALESTIN

DUBAI 29 April – Mesir akan membuka sempadan Rafah ke Palestin secara kekal bagi melonggarkan sekatan ke atas Gaza, kata Menteri Luarnya, Nabil al-Arabi dalam satu wawancara dengan al-Jazeera hari ini.

Beliau berkata, Mesir juga akan melakukan beberapa langkah penting bagi melonggarkan sekatan ke atas wilayah Palestin itu dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Katanya, Mesir tidak lagi akan menyekat satu-satunya lintasan ke Palestin itu selepas mengakui tindakan negaranya menutup sempadan itu sebagai ‘memalukan’.

Mesir menutup sempadan Rafah pada kebanyakan masa dan hanya akan membukanya untuk laluan kes-kes kemanusiaan tertentu dari Genting Gaza.

Israel menguatkuasakan sekatan ke atas Gaza pada 2006 sebelum mengetatkan lagi sekatan pada 2007 apabila Hamas menguasai wilayah tersebut daripada tentera yang setia kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Sejak 2007, kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza terpaksa bergantung kepada terowong penyeludupan bawah tanah di sempadan Gaza bagi membawa masuk barangan keperluan mereka.

Kebanyakan terowong tersebut digunakan untuk membawa masuk barangan asas seperti makanan, barangan keperluan rumah, bahan binaan dan ternakan, tetapi Hamas dan kumpulan pejuang lain didakwa sering menyeludup masuk senjata dan wang melalui terowong sama.

Satu perjanjian 2005 yang dianjurkan Amerika Syarikat (AS) menetapkan Pihak Berkuasa Palestin dan Israel bertanggungjawab ke atas Rafah dengan pengawasan Kesatuan Eropah (EU). – AFP

Sumber