Saturday, April 2, 2011

Operasi tentera bukan jalan penyelesaian: JERMAN

BEIJING: Menteri Luar Jerman semalam berkata, keadaan di Libya tidak boleh diselesaikan menerusi tindakan ketenteraan.

Guido Westerwelle sebaliknya menggesa diadakan gencatan senjata ketika Nato masih melancarkan kempen serangan udara terhadap tentera negara itu.


Westerwelle berkata demikian selepas berunding dengan rakan sejawatannya dari China, Yang Jiechi di Beijing.

Beliau berada di Beijing untuk melakukan lawatan rasmi sebelum ke Jepun.


“Yang ada hanya penyelesaian politik dan kita mesti menggerakkan proses politik itu. Ia boleh bermula dengan gencatan senjata yang perlu dipatuhi Gaddafi bagi membenarkan proses damai bermula,” katanya kepada wartawan.


Jet pengebom Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Kanada, Denmark dan Belgium melakukan serangan terhadap sasaran tentera Libya sejak 19 Mac lalu berdasarkan ketetapan 1973 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan ‘semua langkah perlu’ untuk melindungi orang awam.

Kempen itu bertujuan menggulingkan Gaddafi yang kini berdepan dengan pemberontakan menentang pemerintahan 41 tahunnya.


China dan Jerman mengambil sikap berkecuali dalam pengundian itu. - AFP

Sumber

0 comments: