Wednesday, April 20, 2011

SYRIA lepas tembakan surai orang ramai

DAMSYIK 19 April - Pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di bandar Homs ketika cuba menyuraikan mereka, beberapa jam selepas pihak berkuasa berikrar akan menyekat 'revolusi bersenjata' di negara ini.

"Penunjuk perasaan yang berhimpun di bandar ini lari bertempiaran menyelamatkan diri apabila bunyi tembakan kedengaran," kata seorang aktivis yang dihubungi melalui telefon.

Katanya, anggota tentera menyerbu Dataran al-Saa awal pagi ini ketika kira-kira 20,000 penunjuk perasaan sedang duduk beramai-ramai, menyebabkan penunjuk perasaan yang enggan berundur sehingga Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan, lari menyelamatkan diri.

Tindakan ketenteraan itu dilancarkan beberapa jam selepas kerajaan lewat malam tadi berikrar untuk menyekat 'revolusi bersenjata' yang disifat sebagai menjejaskan kestabilan negara.

"Insiden terbaru ini menunjukkan kumpulan bersenjata Salafist, terutamanya di bandar Homs dan Banias secara terbuka menyeru dilancarkan revolusi bersenjata," jelas satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang dipetik agensi berita SANA.

Kementerian itu turut menuduh kumpulan bersenjata tersebut membunuh tentera, anggota polis dan penduduk awam serta menyerang harta benda awam dan persendirian. - AFP

Sumber

0 comments: