WASHINGTON 5 Mei - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengambil keputusan tidak akan menyiarkan gambar mayat Osama bin Laden kerana khuatir ia akan digunakan sebagai alat propaganda.
Obama memberitahu stesen CBS dalam wawancara semalam, adalah penting untuk menyekat bahan bukti berupa gambar daripada disebarkan sebagai alat propaganda atau untuk menghasut.
"Tidak syak lagi Osama sudah mati, tentunya tidak ada syak lagi di kalangan anggota al-Qaeda bahawa dia sudah mati, kerana itu kami tidak fikir gambar itu sendiri akan membawa perbezaan.
"Kenyataannya, kita tidak akan melihat Osama berjalan di muka bumi ini lagi," kata Obama menurut petikan wawancara yang dibacakan oleh jurucakap White House, Jay Carney.
Obama telah berunding dengan pasukan keselamatan negaranya mengenai soal sama ada hendak menyiarkan gambar tersebut yang sudah dilihatnya atau tidak, sebelum mengambil keputusan itu.
Carney berkata, identiti Osama telah dikenal pasti dan Presiden tidak melihat 'sebab kukuh yang lain' untuk menyiarkan gambar itu, memandangkan potensinya untuk menimbulkan risiko terhadap keselamatan negara ini.
"Bukan untuk kepentingan negara ini membenarkan penyiaran imej itu dijadikan ikon bagi memarakkan sentimen menentang AS, seperti apa yang berlaku pada masa lalu," kata Carney. - AFP
0 comments:
Post a Comment