Friday, May 6, 2011

AS Simpan Gambar Mayat Osama?

pix_gal0
Obama dakwa gambar boleh ancam keselamatan Amerika Syarikat

WASHINGTON: Amerika Syarikat tidak akan menyiarkan gambar mayat Osama bin Laden selepas pengasas al-Qaeda itu dibunuh komando SEAL atas alasan ia mungkin mencetuskan keganasan baru selain digunakan militan sebagai alat propaganda.

Ketika menjelaskan sebab-sebabnya, Presiden Barack Obama berkata: “Saya fikir ada risiko kepada keselamatan negara jika gambar yang agak ngeri ini disiarkan.”
“Sudah jelas Osama sudah mati. Jadi, penyiaran sekeping gambar tidak akan membawa sebarang perbezaan kerana pasti ada pihak akan terus menafikannya.

“Hakikat yang penting ialah, anda tidak akan lihat Osama berjalan di atas muka bumi ini lagi,” kata Obama dalam program CBS 60 Minutes.

Ketika keraguan bertambah kematian Osama, Rumah Putih mengakui ada kesilapan awal maklumat sama ada Osama – yang ditembak di kepala – bersenjata ketika pasukan Tentera Laut SEAL menyerbu kediaman di bandar Abbottabad, Ahad lalu.

Memetik pihak berkuasa, NBC melaporkan empat daripada lima orang terkorban dalam operasi itu termasuk Osama, tidak bersenjata dan tidak melepaskan satu das pun tembakan, berbeza daripada dakwaan awal bahawa komando tidak terbabit dalam tembak menembak lama.
Peguam Negara, Eric Holder, membalas kenyataan bahawa pembunuhan Osama yang tidak bersenjata adalah tidak sah, memberi alasan bahawa komando Amerika yang menyerang, bertindak untuk mempertahankan negara mereka.

Amerika yang kini mengakui bahawa Osama tidak bersenjata apabila ditembak mati, kini dituduh Eropah dan Asia Barat, sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

Tetapi, sama ada ia sah di sisi undang-undang tidak dibincangkan di Amerika sebaliknya pembunuhan Osama disambut dengan pesta di jalan raya.

Satu undian Reuters/Ipsos dikeluarkan Selasa lalu menunjukkan pembunuhan itu menaikkan imej Obama, memperbaiki pandangan rakyat Amerika terhadap kepimpinannya dan usaha memerangi keganasan.

Ada pemimpin Islam melahirkan kebimbangan besar berhubung pengebumiannya di laut daripada sebuah pesawat pengangkut Amerika.

Walaupun pihak berkuasa Amerika berkata ia dilakukan mengikut ajaran Islam, beberapa pemimpin agama berkata ia bertentangan dengan amalan Islam untuk melakukan pengebumian di laut sedangkan orang terbabit menghembuskan nafas terakhir di darat.

Belum ada tanda bantahan besar atau reaksi ganas di jalanan di negara Islam bagi membantah pembunuhan Osama, termasuk Pakistan. Bagaimanapun, sebuah parti politik terbesar Islam di Pakistan menggesa satu bantahan besar-besaran hari ini ke atas apa yang digelarnya satu pelanggaran kedaulatan negara selepas serangan Amerika. – Reuters

SUMBER

SATU UMAT : Errr... video tak de ke? : )

0 comments: