BAITULMAQDIS 29 Mei - Keputusan Mesir membuka semula pintu sempadannya di Rafah dengan Genting Gaza dibidas oleh Israel yang mendakwa langkah itu akan membolehkan kumpulan 'pengganas' memindahkan senjata dan anggota dengan bebas.
Rejim Yahudi itu telah memberi amaran pembukaan semula pintu sempadan Rafah yang ditutup oleh Mesir kepada hampir semua lalu lintas pada 2007 akan mengukuhkan kedudukan Hamas yang memerintah Gaza.
Pergerakan berhaluan Islam itu disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
"Pergerakan bebas manusia dan kargo akan digunakan dengan lebih intensif untuk membawa masuk peluru dan peralatan tentera serta pengganas," dakwa Menteri Infrastruktur Israel, Uzi Landau hari ini.
Kaherah pada bulan lepas mengumumkan rancangannya untuk membuka semula pintu sempadan tersebut, selepas Hamas menandatangani perjanjian perkongsian kuasa dengan seterunya, Parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Perjanjian itu menamatkan sengketa selama empat tahun antara kedua-dua puak utama Palestin itu yang menyebabkan Mesir menutup pintu sempadan Rafah.
Penutupan itu diteruskan walaupun Israel dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada 2005 mencapai perjanjian yang menyaksikan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menempatkan pemantau di pintu sempadan itu.
Walaupun Kaherah tidak turut serta menandatangani perjanjian itu, menteri-menteri Israel hari ini menuduh Mesir melanggar perjanjian dengan membuka semula pintu sempadan.
Menteri Kewangan, Yuval Steinitz berkata, keputusan Mesir untuk membuka semula Rafah tanpa mempedulikan bantahan Israel menunjukkan rejim Zionis Israel tidak boleh bergantung kepada negara lain untuk melindungi sempadannya. - AFP
0 comments:
Post a Comment