Thursday, May 12, 2011

LIBYA: Askar Gaddafi dikepung di Misrata



TENTERA pemberontak mengambil kedudukan di sebuah bukit semasa bertempur dengan tentera yang setia dengan Presiden Muammar Gaddafi di bandar ketiga terbesar Libya, Misrata, kelmarin. - AFP


GENEVA 11 Mei - Pemberontak Libya hari ini mengepung tentera yang setia kepada pemimpin Muammar Gaddafi di lapangan terbang di Misrata dalam satu pertempuran sengit, lapor koresponden AFP.

Menurutnya, pertempuran malam tadi dan hari ini menyaksikan pemberontak berjaya menguasai bahagian utara, timur dan barat lapangan terbang, sementara tentera kini terkepung di bahagian selatan.

Tripoli dalam pada itu terus digegarkan dengan letupan kuat selama satu jam ketika jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terbang rendah di udara, lapor saksi.

Menurut saksi, letupan selama satu jam itu bermula pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan (1.30 tengah hari ini).

Brigadier Jeneral Itali, Claudio Gabellini bagaimanapun menegaskan, NATO tidak menyasarkan serangan terhadap Gaddafi secara khusus.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon hari ini menggesa Libya segera menguatkuasakan gencatan senjata dan menghentikan serangan ke atas orang awam.

Beliau berkata, PBB juga akan menghantar seorang utusan ke Tripoli selepas menghubungi Perdana Menteri Libya, Baghdadi Mahmudi semalam.

"Saya memberitahu Mahmudi, pihak berkuasa perlu berhenti menyerang orang awam. Saya juga menegaskan keperluan gencatan senjata segera bagi mencapai resolusi damai konflik dan membuka laluan kepada kemasukan bantuan kemanusiaan.

"Perdana Menteri juga setuju menerima utusan PBB, Abdul Ilah al-Khatib dan saya telah mengarahkan beliau ke Tripoli secepat mungkin," kata Ki-moon.

Beliau berkata, pertempuran di Misrata dan lokasi-lokasi lain di Libya juga perlu dihentikan segera bagi membolehkan dialog politik dan bantuan kemanusiaan dilaksanakan. - AFP

Sumber

0 comments: