Monday, May 30, 2011

Liga Arab Mahu PALESTIN Berstatus Negara Penuh

DOHA 29 Mei - Liga Arab akan memohon kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya negara Palestin diberi status negara penuh, yang meliputi Genting Gaza dan Tebing Barat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, tanpa mempedulikan bantahan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Jawatankuasa proses damai Liga Arab yang bermesyuarat di sini, semalam memutuskan, pihaknya akan mengemukakan permohonan itu bagi negara Palestin pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York pada September ini.

"Jawatankuasa ini memutuskan untuk meminta PBB mengiktiraf negara Palestin sebagai berstatus negara penuh berdasarkan garisan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya," menurut kenyataan panel tersebut.

Sempadan 1967 merujuk kepada sempadan Israel sebelum perang Israel-Arab 1967, sebelum rejim Zionis Israel menawan Genting Gaza dari Mesir dan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dari Jordan dalam perang tersebut.

Sementara itu, Israel berkata, Palestin hanya boleh mencapai matlamat untuk menubuhkan sebuah negara merdeka menerusi rundingan dan perjanjian damai.

Langkah Liga Arab itu dijangka gagal disebabkan tentangan AS yang memiliki kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB, tetapi Israel khuatir taktik sedemikian akan menyebabkan kedudukannya tergugat di pentas diplomatik.

Presiden AS, Barack Obama dalam ucapan pada 19 Mei lalu mengutuk 'tindakan simbolik untuk meminggirkan Israel di PBB', merujuk kepada rancangan Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan badan dunia itu.

Palestin kini hanya mempunyai status sebagai pemerhati di PBB tanpa hak-hak mengundi. - Reuters

sumber

0 comments: