PESHAWAR 12 Jun - Sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh dan hampir 100 lagi cedera dalam dua letupan bom yang menggegarkan sebuah pasar yang penuh sesak di bandar di barat laut Pakistan ini.
Taliban Pakistan bagaimanapun menafikan mereka bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut yang memusnahkan kawasan Pasar Besar Khyber yang turut menempatkan sebuah hotel, kedai-kedai dan penginapan pelajar.
Serangan itu adalah antara yang paling dahsyat di negara ini sejak komando Amerika Syarikat (AS) membunuh ketua al-Qaeda, Osama bin Laden pada Mei lalu.
Satu letupan kecil pada sekitar 11.30 malam tadi (3.30 pagi ini waktu Malaysia) menarik perhatian orang ramai dan pasukan perkhidmatan kecemasan sebelum letupan kedua yang lebih kuat, dipercayai berpunca daripada pengebom berani mati, kedengaran beberapa kilometer di kawasan sekitar.
"Angka kematian meningkat kepada 39 orang apabila empat mangsa yang cedera meninggal dunia di hospital," kata pegawai kanan polis, Ijaz Khan yang menambah, dua letupan itu berlaku selang empat minit.
Mereka yang terbunuh termasuk dua wartawan daripada akhbar berbahasa Inggeris, Pakistan Today dan The News.
Taliban Pakistan yang telah berikrar untuk melancarkan serangan bagi membalas dendam terhadap pembunuhan Osama menafikan mereka terlibat dalam letupan bom itu dan sebaliknya mendakwa mereka hanya menyerang kerajaan dan tentera.
"Kami tidak melancarkan serangan di Peshawar, serangan itu dilakukan oleh agensi perisikan asing untuk memburuk-burukkan kami.
"Kami tidak menyerang orang tidak bersalah, tetapi sasaran kami ialah pasukan keselamatan, kerajaan dan mereka yang menyebelahinya," kata jurucakap Tehreek-e-Taliban, Ehsanullah Ehsan. - AFP
0 comments:
Post a Comment