“Kami sudah pun melihat kesan krisis ini dan juga kesan serangan Nato bukan saja di timur dan barat daya Libya, tetapi juga Tripoli,” kata Menteri Luar Itali, Franco Frattini ketika berucap pada satu mesyuarat jawatankuasa Parlimen.
“Saya berasa agak tepat untuk meminta Nato memberi penjelasan terperinci berhubung hasil serangannya.”
Beliau mengecam kesilapan menyerang orang awam sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan bukan matlamat Nato.
Perancis mengetuai operasi Nato itu yang dilaksanakan di bawah mandat resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membendung tentera setia kepada Gaddafi daripada menyerang orang awam.
Menjawab desakan Itali itu, jurucakap Menteri Luar Perancis, Bernard Valero pula berkata: “Pakatan dan negara yang terbabit dalam pertemuan di Abu Dhabi dua minggu lalu menyetujui sebulat suara berhubung strategi untuk terus mengenakan tekanan terhadap Gaddafi.”
“Sebarang penggantungan operasi mengundang risiko untuk memberi masa kepada Gaddafi mengukuhkan semula kedudukannya. Akhirnya, penduduk awam juga akan menjadi mangsa,” katanya.
Walaupun Nato meminta ahlinya bersatu dalam isu Libya, beberapa kejadian membayangkan keretakan sudah mula berlaku dengan Norway baru-baru ini memutuskan untuk menarik dari daripada operasi terhadap negara Arab-Afrika itu.
Nato mengaku melakukan kesilapan dalam serangannya minggu lalu apabila 24 orang awam terbunuh, termasuk lima kanak-kanak dalam satu misi pengeboman terhadap Libya.
Pada 1 Jun lepas, Nato memutuskan untuk melanjutkan misinya terhadap Libya kepada tiga bulan lagi sehingga akhir September. – AFP
sumber
0 comments:
Post a Comment