BAITULMAQDIS 14 Jun - Sekatan penuh darat, laut dan udara oleh rejim Zionis Israel ke atas Genting Gaza masuk tahun kelima hari ini dengan kadar pengangguran di wilayah Palestin itu pada paras 45.2 peratus, antara tertinggi di dunia.
Agensi Bantuan dan Perkhidmatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mendapati menjelang separuh kedua 2010, kadar upah sebenar merosot 34.5 peratus sejak separuh pertama 2006.
Sekatan mula dikenakan oleh rejim Zionis pada tahun tersebut selepas pergerakan Hamas yang kini memerintah Gaza memenangi pilihan raya Parlimen Palestin.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekatan penuh mula dikenakan setahun kemudian.
"Trend itu sangat membimbangkan dan pelarian yang merupakan dua pertiga daripada 1.5 juta penduduk Gaza adalah yang paling teruk menanggung akibatnya," kata jurucakap UNRWA, Chris Gunness.
Genting Gaza mempunyai penduduk melebihi 1.5 juta orang, kebanyakannya bertaburan di kawasan pantai Mediterranean di wilayah yang terletak di antara Israel dan Mesir itu.
"Sukar untuk memahami logik di sebalik dasar buatan manusia yang sengaja menyebabkan ratusan ribu penduduk hidup melarat sedangkan mereka berpotensi untuk menjadi produktif," kata Gunness.
Rejim Yahudi terus mengenakan sekatan ke atas Gaza, dengan mengawal aliran import dan mengehadkan kemasukan ke wilayah Israel kepada kes-kes kemanusiaan, bagi menghalang pejuang Hamas daripada memperoleh senjata, bahan letupan dan peluru dari Iran dan Syria.
Berikutan tekanan antarabangsa, Israel pada tahun lalu melonggarkan sebahagian sekatan untuk membenarkan kemasukan lebih banyak barang dagangan dan meluaskan pusat lojistik di pintu sempadan Kerem Shalom bagi membolehkan 400 trak barangan masuk setiap hari.
Tekanan ke atas penduduk Gaza reda sedikit dengan perubahan dasar oleh Kaherah berikutan kejatuhan Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada Februari lalu.
Mesir yang sebelum ini bersekongkol dengan Israel dalam mengenakan sekatan ke atas Gaza, telah membuka pintu sempadannya di Rafah setiap hari kepada kemasukan penduduk awam, tetapi bukan kepada barang dagangan. - Reuters
0 comments:
Post a Comment