DUBAI 1 Jun - Arab Saudi merancang untuk membina 16 reaktor tenaga nuklear menjelang 2030 dengan kos yang dianggarkan melebihi AS$100 bilion (RM300 bilion).
Pengeksport minyak mentah terbesar di dunia itu kini mengalami masalah untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat, dengan itu menimbangkan langkah untuk meningkatkan kapasiti tenaga domestik dengan menggunakan reaktor nuklear.
"Selepas 10 tahun kami akan mempunyai dua reaktor pertama.
"Selepas itu, kami akan membina dua reaktor setiap tahun sehingga kami mempunyai 16 menjelang 2030," kata penyelaras kerjasama sains, Abdul Ghani bin Melaibari, di Bandar Raya Raja Abdullah bagi Tenaga Atom dan Tenaga Boleh Diperbaharui, kepada akhbar Arab News hari ini.
Banyak negara membatalkan rancangan untuk membina loji tenaga atom berikutan krisis di loji nuklear Fukushima Daiichi di Jepun, tetapi negara-negara Teluk adalah antara segelintir yang mahu membuat pelaburan besar dengan membina reaktor nuklear.
Abdul Ghani yang menganggarkan kos setiap reaktor sekitar AS$7 bilion (RM21 bilion) berkata, kerajaan dalam proses merancang projek nuklear itu dengan kerjasama syarikat-syarikat yang memiliki kepakaran dalam bidang tersebut.
Arab Saudi merancang untuk memenuhi 20 peratus daripada keperluan tenaga elektriknya dengan menggunakan tenaga nuklear, katanya.
Permintaan tenaga di Saudi dianggarkan meningkat 7-8 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Negara jiran, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Disember 2009 memberi kontrak kepada sebuah konsortium Korea Selatan untuk membina empat loji tenaga nuklear dengan kos AS$20.4 bilion (RM61.2 bilion). - Reuters
0 comments:
Post a Comment