KABUL 18 Julai – Sekumpulan militan Taliban membunuh seorang penasihat kanan Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dalam serangan ke atas kediamannya di sini malam tadi.
Jan Mohammad Khan yang juga bekas Gabenor wilayah Uruzgan terbunuh dalam serangan tersebut bersama-sama tetamunya, ahli Parlimen bagi Uruzgan, Mohammad Hashem Watanwal, kata seorang jurucakap polis.
Bunyi tembakan kedengaran sehingga ke lewat malam tadi apabila berpuluh-puluh anggota polis Afghan yang dikerahkan ke kediaman dekat bangunan utama Parlimen itu berbalas-balas tembakan dengan seorang penyerang yang bersembunyi di dalam rumah tersebut.
Kejadian itu berlaku kurang seminggu selepas adik lelaki Karzai, Ahmed Wali Karzai dibunuh oleh pengawal peribadi di kediamannya di wilayah Kandahar, selatan negara ini.
Semalam juga menandakan permulaan proses penyerahan tanggungjawab menjaga keselamatan daripada tentera asing kepada pasukan keselamatan Afghan, dan hari terakhir bertugas bagi komander tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan, Jeneral David Petraeus.
Jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzal berkata, sekurang-kurangnya seorang lelaki bersenjata dalam serangan malam tadi turut terbunuh dan belum jelas sama ada anggota keluarga Khan yang lain dapat melarikan diri atau masih terperangkap di dalam rumah itu.
“Khan dan Watanwal serta seorang penyerang terbunuh dalam serangan yang bermula pada 8 malam tadi (11.30 malam tadi waktu Malaysia),” katanya.
Seorang pegawai keselamatan dekat rumah itu berkata, seorang lelaki bersenjata yang membawa bom tangan bersembunyi di dalam bilik air di rumah itu dan melepaskan tembakan dengan senjata automatik.
Tiga orang dipercayai menyerang kediaman Khan dan seorang lelaki yang bersenjatakan raifal AK-47 dan pelancar bom tangan berjaya ditangkap, kata satu sumber perisikan. – AFP
0 comments:
Post a Comment