Friday, July 15, 2011

PAKISTAN - Ratusan Polis Kawal Karachi


Para penyokong parti MQM membakar patung Zulfikar Mirza semasa mengadakan demonstrasi di Karachi, kelmarin bagi membantah kenyataan Zulfikar yang mengkritik pemimpin MQM, Altaf Hussain. - REUTERS


KARACHI 14 Julai - Pakistan mengarahkan beratus-ratus anggota polis separa tentera berkawal di bandar raya ini berikutan keganasan politik dan etnik yang meragut 12 nyawa, malam tadi.

Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik memberitahu wartawan di Islamabad, kerajaan telah mengerahkan 500 anggota Pasukan Konstabel Perbatasan (FC) di Karachi.

Langkah itu diambil lima hari selepas Malik mendakwa kerajaan berjaya memulihkan ketenteraman di beberapa bahagian di Karachi, selepas kekacauan selama seminggu menyebabkan 96 orang maut dalam keganasan terburuk di pusat kewangan Pakistan ini sejak 1995.

Situasi itu juga memaksa Bursa Saham Karachi ditutup awal disebabkan ketiadaan peniaga, kata ketua pegawai eksekutif syarikat broker saham Topline Securities, Mohammad Sohail.

"Kami menutup pasaran saham selepas setengah hari urusniaga kerana situasi yang tidak aman di bandar raya ini," katanya.

Keganasan terbaru itu meletus selepas menteri wilayah, Zulfiqar Mirza daripada parti pemerintah, Parti Rakyat Pakistan (PPP) mengkritik bekas rakannya dalam kerajaan campuran, Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM) serta pemimpinnya yang hidup dalam buangan, Altaf Hussain.

Bulan lepas MQM keluar daripada kerajaan campuran pimpinan PPP yang memerintah Pakistan dan wilayah Sindh yang ibu kotanya ialah Karachi.

MQM yang mewakili penduduk majoriti berbahasa Urdu di Karachi menggesa protes diadakan di seluruh negara bagi membantah kritikan Mirza itu.

Jalan menjadi lengang di Karachi hari ini dan di kawasan kediaman dan komersial yang selalunya sibuk, kebanyakan gedung membeli-belah, pasar dan restoran turut ditutup.

"Sekurang-kurangnya 12 orang termasuk seorang askar Renjer terbunuh, manakala 21 lagi cedera," kata ketua polis Karachi, Saud Mirza, sambil menambah kata, lebih 12 kenderaan turut dibakar dan kira-kira 160 suspek ditangkap polis. - AFP

SUMBER

0 comments: