RAMALLAH 15 Julai - Liga Arab akan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menaikkan taraf Palestin sebagai anggota penuh badan dunia itu.
Rancangan Liga Arab itu dinyatakan dalam satu draf kenyataan yang dihasilkan pada mesyuarat liga itu di Qatar, semalam.
"Keputusan diambil untuk memohon PBB mengiktiraf negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan menaikkan tarafnya sebagai anggota penuh," menurut kenyataan itu yang diterima oleh Reuters.
Kenyataan itu tidak memberikan tarikh untuk berbuat demikian tetapi pegawai Palestin sebelum ini berkata, mereka mahu permohonan dibuat sebelum Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada September ini.
Menurut seorang anggota delegasi Palestin, Liga Arab telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menetapkan tarikh untuk berbuat demikian.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam ucapannya lewat semalam mengecam langkah unilateral itu.
Status anggota penuh dalam PBB akan memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan, di mana sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat (AS) awal- awal lagi sudah menyatakan akan menggunakan kuasa vetonya untuk menolak resolusi itu.
Palestin yang buat masa ini yang mempunyai status sebagai 'pemerhati' dalam PBB telah bertekad untuk meminta badan dunia itu pada September ini mengiktiraf kedaulatan mereka di wilayah yang meliputi Genting Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Langkah itu semakin mendapat momentum disebabkan ketiadaan kemajuan dalam rundingan damai Israel-Palestin dan Liga Arab dengan rasmi menyokong rancangan tersebut pada Mei lepas.
Penganalisis Palestin, Talal Okal berkata, Liga Arab dan Palestin menyedari halangan yang mereka hadapi, termasuk veto AS, tetapi tetap memilih untuk meneruskan rancangan itu kerana dengan pembekuan rundingan damai, mereka tidak nampak sebarang penyelesaian diplomatik yang lain. - Reuters
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm
0 comments:
Post a Comment