Monday, July 4, 2011

PALESTIN - Memang Mossad Dalang Sabotaj Kapal

ATHENS 3 Julai - Kapten kapal Amerika Syarikat (AS) yang dipintas selepas cuba mencabar sekatan Israel ke atas Genting Gaza dan belayar dari Greece, ditahan mengikut 'syarat yang mengejutkan' hari ini dan tidak menerima sebarang bantuan konsul.

Kapten John Klusmer ditahan apabila bot Audacity of Hope, satu daripada kapal aktivis pro-Palestin ke Gaza, cuba untuk meninggalkan perairan Greece Jumaat lalu selepas Athens mengharamkan semua kapal ke Gaza daripada belayar.

Klusmer didakwa dengan jenayah ringan dan diarah hadir ke mahkamah Selasa ini.

Peguam dari New York, Richard Levy yang juga merupakan penumpang bot yang dipintas itu dan telah melawat Klusmer di penjara pelabuhan berhampiran Athens turut memberitahu, tidak ada katil atau tandas di bilik tahanan yang menempatkan kapten itu, malah dia juga tidak diberi makan dan minum.

Sementara itu, aktivis pro-Palestin menegaskan beberapa bukti telah meningkatkan lagi dakwaan bahawa perkhidmatan rahsia Israel, Mossad adalah dalang di sebalik insiden kecil yang berlaku ke atas flotila misi kemanusiaan ke Gaza.

Dua bot 'disabotaj' dan kerenah birokrasi telah menyekat konvoi kapal ke Gaza itu daripada memulakan pelayaran dari Greece untuk mencabar sekatan laut Yahudi ke atas Genting Gaza.

Aktivis menuduh Israel menggunakan helah kotor dan melakukan intipan.

Tuduhan itu timbul selepas tersebarnya berita mengenai bot Ireland, Saoirse disabotaj di pelabuhan Gicek, Turki, hanya beberapa hari selepas sebuah lagi bot milik Sweden, Juliano dirosakkan di Greece.

Rakaman menunjukkan kerosakan dua kapal itu 'mempunyai persamaan yang luar biasa' dan jelas dilakukan dengan perancangan teliti dan secara profesional, menurut aktivis.

Aktivis Israel-Sweden, Dror Feiler yang bertindak sebagai jurucakap kepada flotila berkata, walaupun mereka tidak ada bukti bahawa Israel terlibat dengan insiden berkenaan, tetapi negara Yahudi itu adalah satu-satunya yang akan memperolehi manfaat daripada kejadian tersebut. - AFP

sumber

0 comments: