Friday, July 15, 2011

PALESTIN - Perunding Minta Sokongan AMERIKA

RAMALLAH 14 Julai – Perunding Palestin, Saeb Erakat menggesa Amerika Syarikat (AS) menyokong permohonan mereka untuk membolehkan Palestin menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketika bercakap pada sidang media di Ramallah, semalam Erakat berkata, mereka telah menyampaikan permintaan itu ketika rundingan Kuartet Proses Damai Asia Barat dengan AS pada Isnin lalu, rundingan yang gagal menemui penyelesaian.

“Kami telah menggesa pentadbiran AS menilai semula keputusan mereka yang menolak permintaan kami (Palestin) untuk menganggotai PBB,” kata Erakat.

Rundingan Kuartet yang dianggotai oleh wakil dari AS, Kesatuan Eropah, PBB dan Rusia adalah untuk membincangkan potensi inisiatif damai bagi membolehkan Palestin menarik balik usaha mereka memohon keanggotaan PBB.

Rundingan itu, bagaimanapun gagal tanpa sebarang pelan tindakan dengan Palestin berkeras tidak mahu kembali ke meja rundingan, selagi aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi tidak dibekukan dan garis sempadan perlu berdasarkan sempadan sebelum Perang Enam Hari pada 1967.

“Kami telah diingatkan oleh AS berulang kali bahawa mereka akan menggunakan kuasa veto pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB untuk menentang permohonan kami dan jika kami meneruskannya, ia bakal membawa akibat buruk.

“Tanpa kelulusan daripada Majlis Keselamatan, kami tidak boleh menghadiri Perhimpunan Agung PBB,” kata Erakat. – AFP

sumber

0 comments: